Skip to main content
UMPSA di tangga ke-163 terbaik di Asia, pertama dalam kalangan MTUN

UMPSA di tangga ke-163 terbaik di Asia, pertama dalam kalangan MTUN

PEKAN, 10 NOVEMBER 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukannya di persada pendidikan tinggi antarabangsa apabila berjaya tersenarai di tangga ke-163 terbaik di Asia dan ke-44 di Asia Tenggara menerusi penarafan QS World University Rankings: Asia 2027 yang diumumkan baru-baru ini.

Pencapaian membanggakan ini turut meletakkan UMPSA pada kedudukan ke-20 terbaik dalam kalangan universiti di Malaysia, ke-10 terbaik dalam kalangan universiti awam serta menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti yang menganggotai Malaysian Technical University Network (MTUN).


Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pengiktirafan antarabangsa, kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan jaringan strategik global menjadi pemacu utama universiti dalam merealisasikan aspirasi sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ini.

“UMPSA sentiasa meneroka pendekatan pendidikan inovatif bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai ilmu teknikal, malah mempunyai kompetensi profesional dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri global.

“Kerjasama antarabangsa, pembelajaran berasaskan industri dan penyelidikan strategik menjadi antara kekuatan UMPSA dalam menyediakan pengalaman pembelajaran menyeluruh, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha berterusan seluruh warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi, selain memperluas pengiktirafan UMPSA di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, pencapaian ini membuktikan bahawa usaha berterusan seluruh warga UMPSA dalam meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa penyelidikan serta memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa mula menampakkan hasil yang membanggakan.

“Dalam bidang penyelidikan, UMPSA memperkukuh ekosistem inovasi dan pemindahan teknologi menerusi penubuhan beberapa Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence atau CoE) baharu yang memberi tumpuan kepada bidang strategik dan keperluan industri.

“Antara bidang berkenaan ialah teknologi aeroangkasa, infrastruktur berdaya tahan iklim serta unsur nadir bumi dan mineral kritikal yang mempunyai kepentingan strategik kepada pembangunan teknologi negara,” katanya.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga UMPSA atas komitmen dan semoga usaha ini akan terus menempatkan UMPSA dalam barisan universiti terbaik di rantau ini.

“Penarafan QS World University Rankings: Asia 2027 merupakan sistem penarafan universiti di peringkat Asia yang menilai prestasi institusi pendidikan tinggi berdasarkan 11 indikator utama dengan pemberat yang berbeza.

“Antara indikator yang dinilai termasuk Reputasi Akademik (Academic Reputation) dengan pemberat 30 peratus, Reputasi Majikan (Employer Reputation) sebanyak 20 peratus, Nisbah Staf Akademik kepada Pelajar (Faculty Student Ratio) sebanyak 10 peratus, Jaringan Penyelidikan Antarabangsa (International Research Network) sebanyak 10 peratus serta Sitasi bagi Setiap Penerbitan (Citations per Paper) sebanyak 10 peratus.

“Penilaian turut merangkumi Penerbitan bagi Setiap Staf Akademik (Papers per Faculty) dan Staf Berkelulusan PhD (Staff with PhD), masing-masing sebanyak lima peratus, selain indikator pengantarabangsaan yang melibatkan staf antarabangsa, pelajar antarabangsa serta mobiliti pelajar melalui program pertukaran masuk dan keluar, masing-masing sebanyak 2.5 peratus,” katanya.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen dan usaha berterusan UMPSA dalam memastikan kecemerlangan akademik, memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan jaringan kolaborasi strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Disediakan Oleh: Naqiah Puad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri