Skip to main content

UMPSA di tangga ke-588 terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2027, universiti terbaik MTUN

PEKAN, 18 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti terbaik dalam kalangan Malaysia Technical University Network (MTUN) menerusi pencapaian cemerlang dalam QS World University Rankings 2027.

Dalam penarafan yang diumumkan hari ini oleh Quacquarelli Symonds (QS), UMPSA berjaya berada di tangga ke-588 terbaik dunia, meningkat daripada kedudukan ke-609 pada tahun lalu.

Pencapaian itu turut meletakkan UMPSA di kedudukan kelapan terbaik dalam kalangan universiti awam dan ke-15 terbaik dalam kalangan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pencapaian ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha kolektif seluruh warga universiti yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa inovasi dan melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.

“Selain itu, kejayaan ini turut membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengantarabangsaan serta hubungan strategik dengan industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi Hab TVET Termaju menjelang tahun 2030.

"Sebagai universiti terbaik MTUN,  pencapaian  ini yang amat membanggakan dan mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan, penyelidikan dan kolaborasi industri yang dibangunkan UMPSA. 

"Kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk UMPSA terus memperkukuh reputasi sebagai universiti teknologi dan kejuruteraan bertaraf dunia serta menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan TVET termaju," ujarnya. 

Tambah beliau, UMPSA kini bergerak ke arah menjadi Hab TVET Termaju Asia Pasifik menjelang tahun 2030 dan universiti teknologi terunggul menjelang tahun 2050.

“Dalam usaha untuk mencapai hasrat ini, UMPSA perlu terus memperkukuh jaringan antarabangsa khususnya dengan institusi yang berkongsi komitmen terhadap pendidikan praktikal, relevan dengan industri dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh warga UMPSA atas dedikasi, komitmen dan sumbangan yang telah membawa kepada pencapaian yang membanggakan ini. 
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk melakar kecemerlangan dan mengharumkan nama UMPSA di persada antarabangsa,” jelasnya. 

QS World University Rankings 2027 menilai prestasi universiti berdasarkan sembilan indikator utama meliputi reputasi akademik, sitasi penyelidikan, reputasi majikan, nisbah pensyarah kepada pelajar, kebolehpasaran graduan, pensyarah antarabangsa, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pelajar antarabangsa dan kelestarian.

Pencapaian ini memperkukuh lagi kedudukan UMPSA sebagai IPT teknikal yang menjadi pilihan, bukan sahaja di Malaysia malah semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim