UMPSA diiktiraf 53 terbaik dunia dalam kelestarian
PEKAN, 25 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus cemerlang sebagai universiti teknologi terbaik dalam kelestarian di Malaysia apabila berada di tangga ke-53 di dunia dalam penarafan UI GreenMetric Sustainable University Rankings 2026 yang diumum oleh pihak UI GreenMetric baru-baru ini.
Kejayaan ini menyaksikan UMPSA berada di kedudukan nombor satu terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan tempat ketiga terbaik antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, UMPSA kini telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha memperkasakan amalan lestari melalui pelbagai program universiti yang dilaksanakan.
“Kejayaan ini menunjukkan komitmen UMPSA dalam membangunankan kampus yang lestari dan mampan,” ujarnya.
UMPSA juga diiktiraf sebagai IPT pertama ASEAN menerima pengiktirafan antarabangsa EcoCampus Green Flag oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF).
Dengan pengiktirafan ini, UMPSA kini berada di barisan hadapan sebagai universiti teknikal berteraskan TVET hijau dan inovasi lestari yang diiktiraf di peringkat dunia.
Selain itu, pengurangan emisi karbon turut dijadikan agenda utama universiti untuk mencapai sasaran neutral karbon pada tahun 2050.
Malahan, universiti menyasarkan pengurangan emisi karbon sebanyak 20 peratus ditetapkan pada tahun 2026 dan 45 peratus pengurangan menjelang tahun 2030.
Usaha pengurangan pembebasan karbon dalam UMPSA turut disokong dengan usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dengan pemasangan sistem solar berkapasiti 3.58 MWp yang telah berjaya mengurangkan sehingga 40 peratus penghasilan Karbon Dioksida daripada penjanaan tenaga eletrik.

Selain itu, sistem ini juga mampu menjimatkan kira-kira 20 peratus daripada bil elektrik universiti setiap tahun.
UMPSA menggunakan tenaga solar sebagai salah satu sumber tenaga alternatif dan usaha meningkatkan kecekapan tenaga bermula sejak tahun 2012.
Salah satu usaha termasuklah penggunaan lampu LED di seluruh kampus, Sistem Kawalan Pintar dan Berjadual dan Penambahbaikan Sistem Penyejukan.
Lain-lain Program Time of Usage (ToU) yang membantu universiti menjimatkan kos elektrik berdasarkan waktu penggunaan dan meningkatkan Tadbir Urus dan Budaya Penjimatan Tenaga bagi memastikan usaha penjimatan tenaga dapat diteruskan.
Dalam pada itu, bertepatan dengan keperluan dalam era Revolusi Industri 4.0, universiti juga melaksanakan transformasi digital (digital transformation) kepada sebuah kampus pintar agar terus relevan terhadap keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh.
Usaha ini juga seiring dengan hasrat universiti untuk menjadi sebuah kampus pintar (Smart Campus) dan pelaksanaan inisiatif ini seiring dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan agenda kerajaan digital di negara ini.
Penarafan UI GreenMetric Sustainable University Rankings yang mengukur inisiatif kehijauan dan kelestarian alam sekitar telah diasaskan oleh Universitas Indonesia (UI) pada tahun 2010.
Penilaian dibuat berdasarkan tujuh kriteria utama iaitu Setting and Infrastructure (SI), Energy and Climate Change (EC), Waste (WS), Water (WR), Transportation (TR), Education (ED) serta Governance and Digitalization (GD).
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 33 views
Reports by: