Skip to main content

UMPSA dilantik Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara angkat Agenda Memperkasa Teknologi Sukan

SHAH ALAM, 17 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilantik sebagal Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara.

Empat universiti yang telah dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara dengan teras yang berbeza adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (Teras Tatakelola), Universiti Teknologi MARA (UiTM) (Teras Keusahawanan Sukan), Universiti Sains Malaysia (USM) (Teras Agenda Pembangunan Yang Mampan) dan UMPSA (Teras Inovasi dan Teknologi Sukan).

UMPSA dilantik Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara angkat Agenda Memperkasa Teknologi Sukan

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias menerima dokumen lantikan yang disampaikan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena ASEAN Sports Industry Expo 2025. 

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu diadakan bagi memperkukuh kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam pembangunan industri sukan dari aspek infrastruktur, teknologi dan bakat bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN Tahun 2025.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, penubuhan Pusat Inovasi Teknologi Sukan iaitu sebuah pusat kecemerlangan di UMPSA baru-baru ini adalah tepat pada masanya.

“Penglibatan UMPSA dalam penyelidikan teknologi sukan telah bermula sejak tahun 2012 yang dipelopori oleh Makmal Innovative Manufacturing, Mechatronics and Sports (iMAMS Lab) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dan Human Engineering Research Group (HUMEN) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).

UMPSA dilantik Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Negara angkat Agenda Memperkasa Teknologi Sukan

“Di antara prototaip produk yang telah dihasilkan antaranya adalah Soccer Ball Launcher, Agility Training Device, Wireless Timing Gate, Shuttlecock Shooter dan sebagainya.

“Penyelidik UMPSA juga terlibat dengan analisis biomekanik di dalam sukan seperti Finite Element Analysis dalam bidang berkaitan Sukan dan Data Analytics,” katanya.

Turut sama hadir, Pengarah Pusat Inovasi Teknologi Sukan (STIC), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan yang juga merupakan Presiden Persatuan Teknologi Sukan Malaysia (MySTA).

Turut sama menganggotai MySTA adalah para penyelidik dari pelbagai universiti, agensi dan industri, antaranya UMPSA, UiTM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Sukan Negara (ISN). 

Hadir sama ahli Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

STIC UMPSA turut menyertai expo yang menghimpunkan semua segmen industri sukan negara merangkumi teknologi sukan, penganjuran acara, pembuatan dan pengilang, permotoran, persatuan dan kelab sukan, pendidikan, produk kesihatan, perbankan, pembinaan, peruncitan, perhotelan, kesihatan serta pelbagai perkhidmatan berkaitan.

Platform ini menjadi pemangkin penting dalam memacu industri sukan sebagai salah satu penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau melalui pelaburan, perdagangan dan peluang pekerjaan.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
AINIEY