Skip to main content

UMPSA edar 3,000 bubur lambuk dan gulai kawah buat warga Kuantan

KUANTAN, 12 Mac 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengedarkan bubur lambuk dan gulai kawah secara percuma buat warga Kuantan hasil kerjasama semangat gotong-royong yang melibatkan sukarelawan pelajar dan staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA Advanced Education, Maxis Berhad dan Masjid Sultan Ahmad 1 baru-baru ini. 

Program yang saban tahun diadakan bersempena Festival Indahnya Ramadan 2025 itu telah berlangsung di Masjid Sultan Ahmad 1.

Ia mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam menyambut bulan Ramadan yang penuh barakah.

Turut hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr..Mohd Rusllim Mohamed, dan Pengurus Besar JHEPA, Haryani Abdullah. 

UMPSA edar 3,000 bubur lambuk dan gulai kawah buat warga Kuantan

Menurut Profesor Dr Yatimah, sebanyak enam kawah bubur lambuk dimasak sejak awal pagi secara gotong-royong.

“Ini bukan sahaja menjadi satu usaha untuk membantu masyarakat sekitar, tetapi juga merupakan platform untuk mempereratkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat. 

“Sepanjang bulan Ramadan, pelbagai acara telah dirangka antaranya program bubur lambuk, Moh Sahur bersama RTM, Singgah Sahur, program Kenduri Rewang dan beberapa program bersama pihak korporat dan agensi buat pelajar dan komuniti setempat. 

“Program ini menyuntik semangat kebersamaan dalam menyambut bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan,” ujarnya.

Malahan katanya, dengan kerjasama semua pihak, termasuk Maxis Berhad dan UMPSA Advanced Education, UMPSA dapat menyediakan lebih banyak manfaat kepada mereka yang memerlukan. 

“Pihaknya juga berbangga dan mengalu-alukan amalan bergotong-royong dan program berkongsi rezeki yang dilaksanakan di pelbagai peringkat termasuklah di fakulti, jabatan-jabatan mahupun persatuan atau kelab.

“Selain itu, pihak universiti juga amat menghargai sumbangan pihak korporat, agensi luar dan orang persendirian dalam menyumbang ke Tabung Yayasan UMPSA di sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya. 

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri