UMPSA himpun universiti dan industri Pantai Timur perkukuh ekosistem inovasi negara
PEKAN, 10 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pembangunan inovasi negara apabila menghimpunkan wakil universiti, industri, agensi kerajaan dan pelabur menerusi Pre-Event: Industry–University Research and Innovation Investment Dialogue Session 2026 (URIIS 2026) Series 5: Empowering East Coast – Smart Industry, Local Innovation yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan.
Program anjuran bersama universiti awam (UA) Zon Pantai Timur itu menjadi platform strategik bagi memperluas kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri dalam usaha mempercepatkan pemindahan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta merancakkan pelaburan berasaskan inovasi.
Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim berkata, Malaysia kini berada pada titik penting dalam landskap pembangunan negara yang memerlukan transformasi daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta teknologi bertaraf global.
“Universiti di negara ini memiliki modal insan berkemahiran tinggi, penyelidik bertaraf dunia, kemudahan makmal canggih dan pelbagai penemuan inovatif yang berpotensi memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
“Ukuran sebenar kejayaan penyelidikan bukanlah apa yang tersimpan di makmal, sebaliknya bagaimana hasil penyelidikan itu mampu mentransformasikan industri, menjana kekayaan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Di sinilah sinergi antara universiti dan industri memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan pengetahuan, teknologi dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada negara,” ujarnya.
Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim turut menegaskan bahawa pelbagai cabaran masa hadapan melibatkan sektor seperti mobiliti pintar, aeroangkasa, tenaga lestari, teknologi hijau, ekonomi digital, bioteknologi dan teknologi pertahanan memerlukan kolaborasi strategik yang lebih erat antara kedua-dua pihak.
“Industri menyediakan visi pasaran, kekuatan pelaburan dan laluan pengkomersialan, manakala universiti menawarkan kecemerlangan penyelidikan, inovasi teknologi serta bakat masa depan.
“Apabila kedua-duanya digabungkan, teknologi baharu dapat dihasilkan, industri baharu dapat diwujudkan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi dapat dicipta.
“Negara-negara yang kini muncul sebagai peneraju inovasi dunia berjaya membina ekosistem yang membolehkan pengetahuan, modal, teknologi dan bakat bergerak secara lancar antara universiti dan industri,” katanya lagi.
Tambah beliau, Malaysia mempunyai semua ramuan untuk mencapai kejayaan yang sama.
“Kita mempunyai universiti yang cemerlang, industri yang berwawasan, dasar kerajaan yang menyokong dan sektor strategik yang berpotensi besar untuk berkembang.
“Apa yang lebih penting ialah kesungguhan kolektif semua pihak untuk memastikan negara mampu bersaing di peringkat global.
“Saya berharap sesi dialog yang berlangsung dapat menjadi titik permulaan kepada pembentukan lebih banyak kerjasama strategik yang berimpak tinggi dan melahirkan generasi baharu teknologi serta syarikat tempatan yang mampu mengangkat Malaysia sebagai hab inovasi serantau,” katanya.
Program sehari itu turut melibatkan penyertaan wakil daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), selain agensi strategik seperti Invest Pahang dan Yayasan Pahang.
Pelbagai sesi perkongsian, pembentangan keupayaan universiti dan perbincangan meja bulat turut diadakan bagi mengenal pasti peluang kerjasama penyelidikan serta pelaburan yang mampu memperkasakan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi khususnya di Pantai Timur.
Program ini juga sebagai persediaan menuju University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 yang bakal berlangsung pada 21 hingga 23 September depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 48 views
Reports by: