Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama dengan Elsevier, UA pertama di Malaysia akses ‘SciVal’ tingkat capaian penerbitan berimpak

PUTRAJAYA, 3 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merupakan universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang melanggan ‘SciVal’ iaitu alat analisis berasaskan data Scopus sebagai kemudahan buat para pensyarah dan pelajar universiti dalam meningkatkan capaian yang memberi impak terhadap ekosistem penyelidikan universiti ini di peringkat antarabangsa. 

Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi antara UMPSA dengan Elsevier yang merupakan penerbit akademik yang terkenal dan menyediakan akses ke pelbagai jurnal ilmiah dalam berbagai bidang bakal memberi  manfaat buat pensyarah dan pelajar mengakses semua jurnal, buku panduan, video dan lain-lain capaian. 

Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha bertukar memorandum perjanjian (MoA) dengan Regional Vice-President Research Intelligence & Engineering, Asia Pacific, Jessica Low dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud. 

UMPSA jalin kerjasama dengan Elsevier, UA pertama di Malaysia akses ‘SciVal’ tingkat capaian penerbitan berimpak

Turut hadir Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Zurina Abdul Hamid, Customer Success Manager, Dr. Benny Ang, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman,  Pengarah Pusat Strategi dan Pembangunan Penyelidikan, Profesor ChM. Dr. Chong Kwok Feng, dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Profesor Madya Dr. Norhayati Rosli.

Menurut Profesor Ts. Dr. Aida, kerjasama Elsevier ini juga membolehkan universiti menganalisa data penerbitan di pengkalan data Scopus secara strategik. 

“Malah, ia juga membolehkan UMPSA merancang strategi yang bersesuaian untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dalam menghasilkan karya ilmiah, serta memudahkan kolaborasi antara penyelidik di peringkat antarabangsa.

“Dengan akses kepada alat-alat ini, UMPSA dapat meningkatkan tahap penerbitan dan kebolehlihatan (visibility) hasil penyelidikan mereka di peringkat global. 

“Kerjasama ini memberi manfaat  termasuklah membangunkan kerjasama global merentas disiplin serta meningkatkan impak dan reputasi UMPSA  di peringkat antarabangsa,” ujarnya. 

Dalam masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Aida turut hadir menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Amplifying Research Impact through Strategic Research Analytics’ dalam Research Impact Summit 2025 anjuran bersama pihak Elsevier dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berlangsung di Zenith Hotel Putrajaya. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri