UMPSA jalin kerjasama strategik dengan 6 rakan industri berkaitan pembangunan mineral, perlombongan dan teknologi lestari
PUTRAJAYA, 4 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) jalin kerjasama dengan enam industri yang memfokuskan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan geran industri berkaitan pembangunan mineral, perlombongan dan teknologi baharu yang lestari.
Program berlangsung bersempena dengan Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI) yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC), hari ini.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bertukar dokumen dengan enam wakil industri sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhotrmat Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Hadir bertukar dokumen, Ketua Operasi Binex Services and Solution Sdn. Bhd, Azman Luddin, Peter Lau mewakili Innomatrix Tech Sdn. Bhd, Timbalan Presiden, Rock Flow Dynamics (South East Asia), Dewi Haerani Kurniawati dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., Mohd Bazli Kamin.
Turut serta bertukar dokumen, Pengurus Projek Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd., Mohd Yazit Sariff dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pahang Mining Corporation (PMC), Dato' Haji Ahmad Rizal Ali@Jaafar.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, kerjasama ini mampu mengukuhkan jalinan kerjasama yang lebih erat di antara UMPSA dengan pihak industri dalam pelbagai sektor bagi membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan berimpak.

“UMPSA sebagai Hab TVET Termaju di rantau ini memberi tumpuan terhadap bidang seperti Tenaga Lestari, Automasi Industri dan Transformasi Digital.
“UMPSA mempunyai pusat kecemerlangan dan antaranya Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMRRT) yang turut membantu dalam berkongsi kepakaran dalam merangka dasar perlombongan lestari,” katanya.
Selain itu, kerjasama dalam geran industri bersama Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. pula melibatkan aktiviti pemprosesan semula sisa perlombongan dan pemuliharaan tapak bekas lombong di seluruh Selangor.
Manakala kolaborasi dengan syarikat antarabangsa, Rock Flow Dynamics (South East Asia) melibatkan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 84 views