UMPSA kenang jasa mantan NC dan TNCPI atas sumbang bakti buat universiti
PUTRAJAYA, 25 Januari 2025 - Majlis Sanjungan Budi Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli bagi menghargai dan mengenang jasa bakti kedua-dua tokoh kepimpinan yang banyak menyumbang bakti di universiti ini.
Hadir dalam majlis, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, barisan ahli Lembaga Pengarah Universiti, Lembaga Pemegang Amanah dan pengurusan universiti.
Dato’ Seri Abdul Razak berkata, pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala khidmat bakti.
“Sumbangan ini pastinya amat dihargai dan sekiranya dapat diteruskan terutamanya menerusi khidmat nasihat dan kepakaran yang dapat dimanfaatkan oleh warga UMPSA,” katanya dalam Majlis Sanjungan Budi dan Serahan Tugas Naib Canselor UMPSA.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, majlis ini sangat besar makna dan impaknya kepada UMPSA dan juga sebagai penghargaan bagi mengiktiraf kecemerlangan perkhidmatan kedua-dua tokoh kepimpinan ini.
“Sebagai Naib Canselor UMPSA kelima selama tiga tahun dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) lebih sepuluh tahun, sudah pastinya Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie mempunyai banyak pengalaman yang beliau peroleh sepanjang memacu UMPSA ke arah kecemerlangan dalam pelbagai aspek.
“Sehinggalah UMPSA menjadi antara institusi yang terbaik di Malaysia dan antarabangsa serta kekal unggul sebagai universiti Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar turut menyaksikan acara serah tugas antara Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Profesor Dr. Yatimah Alias sebagai Naib Canselor UMPSA Keenam.
Bagi Profesor Dr. Yatimah, beliau berazam untuk menggunakan kekuatan universiti ini bagi meneruskan misi dan visi menara gading itu ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, majlis turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang telah Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMPSA untuk tempoh dua bulan yang lalu.
Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Pusat Sukan dan Kebudayaan UMPSA.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 204 views