UMPSA–KotaSAS TMB anjur My Green Community Day Perkasa Kelestarian Komuniti Setempat
Kuantan, 25 Januari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama KotaSAS, Tanah Makmur Berhad (TMB) telah menganjurkan My Green Community Day dalam usaha memperkasakan kesedaran dan penglibatan komuniti terhadap amalan kelestarian alam sekitar bertempat di Tasek Commercial Center, KotaSAS.
Pelbagai aktiviti menarik yang berunsurkan pendidikan telah diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar, antaranya SDG Games, Adopt Your Plant, Pertandingan Mewarna serta DIY menghasilkan sabun dari minyak terpakai.
Program yang bermula jam 8.30 pagi ini dikendalikan seramai 30 sukarelawan pelajar Kelab Eco Nexus dan staf UMPSA.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, penganjuran program seperti ini mampu menjadi platform berkesan untuk mendidik masyarakat mengenai amalan lestari secara santai dan interaktif.
“Program ini juga menyokong KotaSAS dalam pelaksanaan Projek Green Living Index- a Sustainability Metrics Initiative fo Eco-Friendly dikalangan komuniti setempat.
“Lebih menarik, aktiviti kali ini turut mengetengahkan perkongsian hasil upcycling oleh pelajar Kelab Eco Nexus, antaranya penghasilan pasu tanaman daripada botol minuman terpakai yang diubah suai dan dimanfaatkan semula sebagai medium penanaman pokok,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada komuniti KotaSAS yang memeriahkan program hari ini dengan sambutan yang menggalakkan dalam semua aktiviti yang telah dianjurkan.
“Tidak lupa juga kepada rakan strategik, KotaSAS, Tanah Makmur Berhad (TMB) yang menjemput Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA dalam menjayakan program ini bersama Kelab Eco Nexus,” katanya.
Tambahnya, usaha strategik ini merupakan agenda kelestarian, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta komitmen universiti terhadap penglibatan komuniti dan pemerkasaan kesedaran alam sekitar.
“Saya berharap program seperti ini dapat menjadi platform berkesan dalam mendidik masyarakat, khususnya kanak-kanak, agar lebih menghargai dan memelihara alam sekitar,” ujarnya.
Salah seorang pengunjung, Farieza Ashikin Ahmad Shukri, 34 berkata bahawa penganjuran program ini memberi impak positif kepada anak-anaknya kerana mereka bukan sahaja dapat berhibur, malah memperoleh pengetahuan baharu mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti yang disediakan.
“Saya turut berharap agar program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
- 20 views
Reports by: