Skip to main content

UMPSA laksanakan pemberian opsyen SSPA

PEKAN, 21 Oktober 2024 – Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan sesi serahan borang opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada seluruh warga kerjanya. 

Sesi ini telah melibatkan seramai 1,576 orang staf berstatus tetap percubaan, tetap dan tetap berpencen di UMPSA. 

Menurut Pendaftar atau Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, daripada sudut manfaat kepada pekerja, pelaksanaan SSPA bukan sahaja bakal memberikan manfaat dalam sudut kewangan iaitu menerusi pelarasan gaji yang lebih tinggi, mereka juga turut memperoleh peluang untuk perkembangan kerjaya yang lebih baik berdasarkan kepentingan perkhidmatan awam. 

“Selaku majikan pula, UMPSA dijangka bakal mendapat pulangan balik menerusi peningkatan produktiviti kerja warganya yang dijangka mampu membawa universiti ke satu tahap yang lebih tinggi,” ujarnya. 

Manakala menurut Eksekutif Kanan, BPSM, Siti Sakinah Mohtar, proses ini adalah selari dengan arahan kerajaan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 iaitu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

“Ia bertujuan untuk menambah baik sistem saraan kakitangan awam iaitu Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah digunakan sejak 1 November 2002. 

“Menerusi tawaran opsyen ini, pegawai yang sedang berkhidmat diberi peluang untuk memilih menerima SSPA dan seterusnya menikmati manfaat dan faedah yang disediakan melalui sistem saraan baharu ini atau kekal dalam sistem saraan terdahulu dan kekal dengan kemudahan dan peruntukan di dalam sistem saraan yang lama secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

UMPSA laksanakan pemberian opsyen SSPA

“SSPA merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk memperbaiki struktur gaji dan saraan kakitangan awam, dan dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan kakitangan di UMPSA khususnya. 

“Antara manfaat terus yang akan dinikmati oleh staf yang menerima opsyen mulai 1 Disember 2024 termasuklah penyelarasan gaji pokok, pengembangan kerjaya dan peningkatan faedah saran,” katanya. 

Tambahnya lagi, bagi penyelarasan gaji pokok, staf yang memilih SSPA berpeluang menikmati kenaikan gaji pokok yang akan membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka dan gaji asas minimum dalam Jadual Gaji Minimum Maksimum (JGMM) ditambah baik kepada RM1,500.00.

“Untuk pengembangan kerjaya pula, staf yang memasuki perkhidmatan dengan UMPSA menggunakan sijil yang lebih rendah daripada Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) akan ditukar lantik ke gred jawatan dengan syarat kemasukan bertaraf SPM. 

“Beberapa skim yang asalnya kenaikan pangkat berlaku berdasarkan kekosongan telah ditukar kepada tanpa berdasarkan kekosongan dan staf yang berada dalam skim iaitu kenaikan pangkat adalah berdasarkan kekosongan akan diberikan peluang kenaikan pangkat kepada satu gred lantikan yang lebih tinggi secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

“Peningkatan faedah persaraan adalah selari dengan penyelarasan gaji pekerja menerusi pelaksanaan SSPA,” katanya. 

Tambah Sakinah lagi, ia meningkatkan faedah persaraan yang lebih baik menerusi caruman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lebih tinggi dan memberikan jaminan kewangan bagi kakitangan setelah bersara.

“Staf diberikan tempoh 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November 2024 untuk membuat pilihan opsyen,” ujarnya.

Dengan pelaksanaan SSPA ini, UMPSA bertekad untuk terus memperkukuhkan lagi kesejahteraan dan motivasi kakitangannya, selaras dengan visi universiti untuk menjadi institusi yang cemerlang dalam pendidikan dan penyelidikan.

Untuk maklumat lanjut, staf UMPSA boleh merujuk dengan pegawai BPSM, Jabatan Pendaftar atau menerusi portal rasmi BPSM, Jabatan Pendaftar.

Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mohtar, Jabatan Pendaftar

Reports by:
Admin UMP News