UMPSA lancar aplikasi mudah alih e-Comm
GAMBANG, 16 Februari 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melancarkan aplikasi mudah alih e-Community sebagai altenatif komunikasi dalam kalangan warganya.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin sempena Majlis Amanat Naib Canselor baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Maklumat, Profesor Madya Dr. Mohamed Ariff Ameedeen dan Pengarah, Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Ts. Mohd Rashid Abu Bakar.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, seiring dengan era pendigitalan, UMPSA memperkenalkan Aplikasi Mudah Alih e-Community (e-Comm) sebagai membudayakan teknologi dalam operasi seharian.
"UMPSA telah menggunakan platform e-Community sebagai salah satu komunikasi dalam kalangan warga sejak awal penubuhannya.
"Aplikasi mudah alih terbaharu UMPSA ini merangkumkan kesemua fungsi dalam aplikasi e-Community sedia ada dalam bentuk paparan yang lebih ringkas, kemas dan menarik.
"Diharapkan aplikasi ini dapat membantu staf bagi pengurusan maklumat dan pelbagai aktiviti dengan lebih pantas, " katanya.
Manakala Profesor Madya Dr. Mohamed Ariff pula berkata, Aplikasi e-Comm ini merupakan satu platform komunikasi yang terbina yang mudah untuk digunakan, kepercayaan terhadap keselamatan sistem, kualiti maklumat, kualiti sistem dan juga kualiti perkhidmatan yang disediakan meningkatkan produktiviti, keberkesanan dan kecekapan capaian dalam kalangan staf universiti.
Pihaknya merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti bersama staf bagi meningkatkan kesedaran ramai terhadap aplikasi ini.
Staf boleh muat turun aplikasi e-Comm menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 133 views