Skip to main content

UMPSA lancar Edutourism tarik minat pelajar antarabangsa, umum 12 Ogos Hari Alumni

PEKAN, 25 Julai 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan Program Pelancongan Pendidikan (Edutourism) menerusi pakej-pakej yang dirangka khusus dengan objektif untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya, bahasa serta mampu menonjolkankeunikan UMPSA, keistimewaan flora dan fauna Negeri Pahang dan keindahan negara Malaysia.

Selain mewujudkan jaringan kerjasama antara negara, industri dan agensi yang terlibat, program ini akan menjadikan UMPSA sebagai hab pelancongan pendidikan utama di negeri Pahang seiring dengan agenda menjayakan Tahun Melawat Malaysia yang telah ditetapkan pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing ke negara ini. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, program Edutourism ini juga menyokong strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dapat memberi manfaat kepada kelestarian pelancongan terutamanya menggunakan sumber alam sekitar secara optimum dan memulihara sumber asli serta biodiversiti.

UMPSA lancar Edutourism tarik minat pelajar antarabangsa, umum 12 Ogos Hari Alumni

“Universiti juga mempunyai pelbagai fasiliti untuk pembangunan sukan bagi sahsiah pelajar dan komuniti setempat untuk menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi seperti Rimba Lestari, Pusat Rekreasi Air, tapak perkhemahan, rentas halangan, peralatan dan kelengkapan kayak, kemudahan Paintball dan Kolam Selaman yang merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang mempunyai pusat selam di negara ini. 

“Sebagai universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA akan terus memperlihatkan komitmen universiti di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Pada masa yang sama, ia  mampu membawa masuk mahasiswa antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif meningkatkan kebolehpasaran graduan premium dan menyokong usaha Edutourism yang dilaksanakan di UMPSA,” katanya dalam Sidang Media sempena Pelancaran Program Edutourism@UMPSA dan Perasmian 12 Ogos sebagai Hari Alumni UMPSA yang berlangsung di Pusat Rekreasi Air UMPSA Pekan. 

Dalam pada itu, UMPSA giat menjalankan inisiatif terhadap usaha memupuk kesedaran amalan lestari antaranya pemasangan solar di universiti ini yang melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan di atas pakir kenderaan atau dalam istilah teknikal ialah Building Integrated Photo Voltic (BIPV) dan pemasangan solar di atas permukaan tasik. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut mengumumkan bahawa tarikh 12 Ogos setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Alumni UMPSA bersempena hari pertama bermulanya Majlis Konvokesyen diadakan dan sehingga kini UMPSA mempunyai seramai 44,763 alumni  termasuk seramai 1,031 alumni antarabangsa.

UMPSA lancar Edutourism tarik minat pelajar antarabangsa, umum 12 Ogos Hari Alumni

Katanya lagi, UMPSA melahirkan graduan yang bukan hanya berpengetahuan dalam bidnag akademik bahkan mempunyai kemahiran insaniah yang selari dengan kehendak industri apabila mencapai 97.3 peratus kadar kebolehpasaran graduan yang antara tertinggi dalam kalangan UA bagi tahun 2023. 

“Sebanyak 83.6 peratus antara tertinggi bilangan graduan berkaitan kerja mahir atau mengikut Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) adalah dalam Kumpulan Utama 1: Pengurus; Kumpulan Utama 2: Profesional; Kumpulan Utama 3: Juruteknik dan Profesional Bersekutu dan antara peratusan tertinggi dalam kalangan UA bagi pendapatan usahawan yang dihasilkan universiti ini. 

“Lebih membanggakan, graduan UMPSA juga memperoleh pendapatan graduan ijazah pertama dengan graduan berpendapatan bulanan RM4,001 dan ke atas serta bergaji premium mencatat peratusan antara tertinggi dalam sektor perkhidmatan (36.2%), pembuatan (20.4 %), pembinaan (19.7 %), profesional, saintifil dan Teknikal (11.5 %), maklumat dan komunikasi (10.8 %) dan lain-lain (1.5 %),” ujarnya. 

Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Ir. Ts. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Dalam program ini, seramai 50 peserta antarabangsa daripada Beijing Polytechnic China dan BEIFANG Automotive Education Group (BAEG) yang mengikuti Pakej English, Culture and Heritage hadir di UMPSA. 

UMPSA lancar Edutourism tarik minat pelajar antarabangsa, umum 12 Ogos Hari Alumni

Program ini berkesinambungan daripada program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Programme (MYCHAT) hasil kerjasama UMPSA dengan BAEG dan TANG International Education yang berjaya membawa belia dan mahasiswa Malaysia untuk mengikuti latihan kemahiran aras tinggi di China.  

Program Pelancongan Pendidikan (Edutourism) kini diperluas dengan memperkenalkan pakej yang lebih fleksibal yang diselaraskan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama strategik agensi dan jabatan lain yang berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa dari Indonesia, China, Yaman, Iran, Palestin dan Mesir. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit