Skip to main content

UMPSA lantik 4 orang wakil industri sebagai Profesor Adjung

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melantik empat orang Profesor Adjung dalam kalangan wakil industri di Majlis Pertukaran Memorandum Persefaham dan Perjanjian di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan industri yang berlangsung di Dewan Perdana, MIDA Sentral baru-baru ini. 

Empat orang Profesor Adjung itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Kanan Modul Pengeluaran 2 Infineon Technologies, Mohd Jeffery Abdull Manaf, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan dan Ketua Pegawai Operasi Ranhill Bersekutu Sdn. Bhd., Ir. Dr. Abdul Aziz Abas. 

Mereka itu dilantik dalam kalangan Ketua Pengarah Eksekutif industri melalui CEO@Faculty Programme (CFP) bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan antara akademia dan industri dengan menggandingkan CEO terpilih dengan universiti.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, inisiatif ini membolehkan pemimpin industri berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pelajar serta warga fakulti, seterusnya menyelaraskan program pendidikan di universiti dengan piawaian industri.

“Melalui penglibatan mereka, kami akan memperoleh pandangan yang tidak ternilai tentang trend terkini, amalan terbaik dan peluang yang muncul dalam pelbagai sektor. 

“Ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan kami tetapi juga mampu memastikan kurikulum kekal dinamik dan responsif kepada perubahan industri,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Ranhill Bersekutu Sdn. Bhd., Ir. Dr. Abdul Aziz Abas yang dilantik sebagai Profesor Adjung bagi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) berkata, melalui pelantikan ini, pihak industri dapat berkongsi pengalaman, pengetahuan dan teknologi dengan universiti.

“Kami menawarkan peluang dan kolaborasi iaitu pelajar berpeluang menjalani latihan praktikal di dalam industri. 

“Pelajar ini juga akan melalui latihan praktikal dengan mengikut amalan-amalan kejuruteraan yang lazim serta didedahkan dengan ilmu pengurusan. 

“Malah, melalui inisiatif ini juga pihak industri berpeluang untuk menyumbangkan khidmat dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada pembangunan pendidikan generasi muda,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad