UMPSA Leadership Cafe, perkukuh kelestarian kolam bakat UMPSA
PEKAN, 7 Julai 2026 – Seramai 53 peserta dalam kalangan kumpulan bakat menerima Laporan Profil Kepimpinan masing-masing dalam Program UMPSA Leadership Cafe.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh yang mewakili Naib Canselor UMPSA.
Hadir menyaksikan program, Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Profesor Dr. Harshita Aini Haroon yang menyaksikan sesi penyerahan laporan profil kepimpinan kepada semua peserta.
Para peserta turut menerima simbolik penyerahan Laporan Profil Kolam Bakat UMPSA untuk diserahkan kepada AKEPT sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan kepimpinan dan pelaksanaan pengurusan bakat di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Menurut Profesor Dr. Harshita, pembentangan laporan ini sangat komprehensif dan boleh dijadikan rujukan untuk universiti awam (UA) yang lain.
“Apapun keputusan diperoleh, kumpulan bakat yang menerima laporan profil kepimpinan ini perlu melihat ia satu peluang untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan, memperkukuh kompetensi kepimpinan serta merancang intervensi pembangunan yang lebih bersasar dan berimpak,” ujarnya.

Profesor Dr. Harshita, turut menyampaikan pembentangan yang menyentuh soal hala tuju kolam bakat IPT pelan penggantian dan kepentingan pemprofilan kepimpinan untuk kelestarian bakat untuk hari ini dan masa hadapan.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Juliana Mohd Ali membentangkan laporan merangkumi dapatan menyeluruh berkaitan Penilaian Profil Kepimpinan UMPSA yang melibatkan analisis jurang kompetensi (competency gap analysis), kesesuaian penyandang terhadap jawatan semasa (fitness), kesediaan penyandang untuk jawatan seterusnya (readiness) serta dapatan ujian psikometrik meliputi aspek personaliti, tekanan, kebimbangan dan kemurungan (DASS).
Selain itu, kerangka pembangunan kepimpinan UMPSA turut dibentangkan bagi pelaksanaan program pembangunan secara modular kepada calon yang memerlukan peningkatan kompetensi mengikut kluster yang dikenal pasti.
Pendekatan ini dijangka dapat memperkukuh kesiapsiagaan pemimpin universiti dalam menghadapi cabaran pengurusan masa hadapan.

Hasil penilaian ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai kekuatan dan ruang penambahbaikan setiap peserta bagi menyokong pembangunan kepimpinan secara lebih strategik, berasaskan data serta selaras dengan keperluan organisasi.
Turut menjadi perhatian, kumpulan bakat ini merupakan kumpulan pertama yang menggunakan instrumen BESA melalui platform Competency Management System (CMS) dalam e-Community UMPSA.
Disediakan Oleh: Muhammad Fauzi Bin Ali, Jabatan Pendaftar
- 46 views
Reports by: