Skip to main content

UMPSA-MARA tingkat kolaborasi fokus pengajian model Integrasi TVET

PEKAN, 18 Julai 2025 - Kunjungan delegasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan), Ir. Dr. Mahzan Teh bertemu Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias baru-baru ini memberi lebih banyak ruang kolaborasi untuk dimanfaatkan kedua-dua pihak terutamanya berkaitan pembiayaan pengajian pelajar.

Hadir bersama beliau, Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal, Ir Nuriman Yusoff, Timbalan Pengarah 1 (Pengajian), Rosnani Mohd Rosdi, Timbakan Pengarah 11 (Penilaian dan Persijilan), Asmar Suid, Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Penyelidikan), Iswadi Ahmad@Hasan dan Pengarah MARA Pahang, Soffian Mustafa. 

Menurut Profesor Dr Yatimah, pertemuan ini memberi peluang untuk kedua-dua pihak melihat potensi program pengajian pascasiswazah bagi staf, program ijazah dual UMPSA, laluan lepasan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan TVET Tahfiz dan lain-lain bagi mengikuti pengajian di UMPSA. 

UMPSA-MARA tingkat kolaborasi fokus pengajian model Integrasi TVET

“Ini menandakan permulaan kepada satu kerjasama strategik jangka panjang dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk memperkasakan pendidikan TVET sebagai pemacu pembangunan masa depan.

“Turut dibincangkan pakej biasiswa padanan institusi penajaan program ijazah dual UMPSA dan kolaborasi model kerjasama tiga serangkai (triple helix) antara IPT, industri dan kerajaan dalam kebolehpasaran graduan dengan jaminan gaji premium,” katanya.

Bagi Ir. Dr. Mahzan, pihaknya mengalu-alukan kerjasama ini dan MARA mempunyai banyak program yang menyokong usaha dalam membiayai pelajar Bumiputera yang terpilih ke universiti terkemuka di luar negara.

Beliau mengharapkan kerjasama ini akan  membina laluan lebih sistematik bagi pelajar lepasan TVETMARA menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di UMPSA.

TVETMARA ini merangkumi GIATMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII)  dalam melahirkan tenaga mahir negara. 

“Kami mahu memastikan pelajar TVETMARA bukan sahaja dapat melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau ijazah, malah turut dijamin peluang pekerjaan serta diberi ruang untuk mengkomersialkan hasil inovasi mereka,” ujar beliau.

Laluan akademik ini bakal merangkumi pemetaan kredit, pengiktirafan kemahiran dan pelaksanaan program pendidikan berasaskan kerja (work-based learning).

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Korporat), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Pengarah Kanan Strategik dan Pengembangan Akademik, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya dan Pengarah Pusat TVET Termaju, Profesor Madya. Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani.

Turut sama, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab, Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan, Zainal Bahari, Pengurus Kanan JHEAA, Abd Rahman Haji Safie dan Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Ernie Nurazlin Lizam.

UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebelas program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA),
Technische Hochschule Mannheim (THM) Jerman, Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan serta Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri