Skip to main content

UMPSA memperkukuh budaya integriti melalui Majlis Ikrar Bebas Rasuah bersama SPRM

PEKAN, 26 November 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen dalam memartabatkan integriti melalui penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang, bersempena dengan Sambutan Hari Integriti Peringkat UMPSA 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak. 

Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bersama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang, KPKPj Mohd Shukor Mahmud. 

Profesor Dr. Yatimah menegaskan bahawa sambutan Hari Integriti bukan sekadar pengisian tahunan dalam kalendar universiti, tetapi satu manifestasi kesungguhan UMPSA untuk memerangi rasuah serta memupuk nilai integriti dalam setiap warga kampus. 

"Kredibiliti sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui ranking atau bilangan graduan, sebaliknya melalui kepercayaan masyarakat terhadap amanah yang dipikul oleh institusi pendidikan tinggi. 

"Kepercayaan ini, hanya dapat dibina melalui budaya kerja beretika dan konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Integriti merupakan benteng utama yang melindungi individu dan organisasi daripada gejala rasuah," katanya.

Tambahnya, integriti, adalah ‘sistem imun’ yang mencegah institusi daripada dijangkiti amalan tidak beretika dan asasnya bermula daripada keberanian menolak salah laku walaupun tiada siapa yang memerhati. 

"Justeru, kepimpinan universiti memainkan peranan penting dalam mencipta budaya kerja yang sihat, berprinsip dan bebas rasuah, selari dengan tema Bulan Integriti Nasional 2025 iaitu ‘Integriti Teras Kesejahteraan Negara’.

"Komitmen UMPSA dalam agenda integriti telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif termasuk pengukuhan sistem tadbir urus berasaskan prinsip akauntabiliti, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
 
"Unit Integriti dan Pematuhan UMPSA juga aktif menganjurkan program kesedaran bagi mengukuhkan kefahaman warga universiti mengenai integriti," ujarnya. 

Beliau turut berkongsi, dua pegawai integriti turut mengikuti Program Pegawai Integriti Bertauliah di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai usaha meningkatkan kepakaran dalam pengurusan integriti di peringkat universiti awam.
Profesor Dr. Yatimah juga merakamkan penghargaan kepada Unit Integriti dan Pematuhan UMPSA serta SPRM Negeri Pahang atas usaha berterusan dalam mengukuhkan budaya integriti di universiti. 

"Saya menyeru seluruh warga UMPSA supaya terus komited mempelopori budaya kerja yang bersih, telus dan bertanggungjawab. 

"Usaha membina budaya integriti adalah perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran, kecekalan dan usaha berterusan daripada semua pihak.

"UMPSA bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan ilmu, tetapi turut unggul sebagai pusat integriti yang melahirkan generasi berakhlak, berprinsip dan bebas rasuah, demi kesejahteraan masyarakat dan negara," ujarnya. 

Tambahnya, UMPSA adalah sebuah kampus yang mengamalkan zon sifar toleransi terhadap gangguan seksual, dan tiada individu akan dilindungi sekiranya melakukan salah laku, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.

"Pada masa sama, universiti komited menjaga hak pengadu serta memberi ruang kepada individu yang disiasat untuk membela diri secara adil mengikut prosedur sewajarnya," ujarnya. 

Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual UMPSA yang disempurnakan oleh Naib Canselor bersama Pengarah SPRM Negeri Pahang. 

Garis panduan ini merupakan usaha signifikan UMPSA dalam memastikan kampus kekal sebagai persekitaran yang selamat, beretika dan menghormati maruah setiap individu. 

Ia dibangunkan berasaskan beberapa rujukan perundangan termasuk Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (2022), Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 serta Kaedah-kaedah Tatatertib Pelajar UMPSA 2024.

Ia merangkumi definisi dan kategori gangguan seksual, termasuk perlakuan fizikal, lisan, isyarat, visual dan psikologi, serta prosedur lengkap mengenai langkah yang boleh diambil oleh pengadu, peranan Ketua Jabatan dan tatacara pengurusan kes. 

Selain itu, majlis turut menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah oleh kepimpinan dan warga UMPSA, diikuti sesi menandatangani ikrar sebagai simbol komitmen bersama untuk menolak segala bentuk rasuah.

UMPSA memperkukuh budaya integriti melalui Majlis Ikrar Bebas Rasuah bersama SPRM

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan, Dato’ Zainudin Othman, Ketua Pustakawan, Kamariah Gono, dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim. 
 
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri