Skip to main content

UMPSA memperkukuh jejak global melalui program mobiliti staf di National University of Singapore (NUS)

PEKAN, 29 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melangkah setapak lagi ke pentas antarabangsa melalui penyertaan Pensyarah Kanan dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Dr. Umi Kalsom Masrom yang mengikuti program mobiliti staf selama lima hari bermula 29 September hingga 3 Oktober 2025 di National University of Singapore (NUS).

Program itu diselaras dengan kerjasama antara Pusat Jaringan Global UMPSA dan Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar UMPSA yang berperanan penting dalam menyelaras aspek sokongan logistik, sumber manusia serta urusan pentadbiran bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.

Program mobiliti staf ini bertujuan untuk memperkukuh kecekapan profesional staf, memperluas rangkaian akademik antarabangsa, serta memperoleh pendedahan kepada amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa berinovasi. 

Sepanjang program lima hari itu, Dr. Umi ditempatkan di bawah bimbingan Centre for English Language Communication (CELC) dan Centre for Teaching, Learning and Technology (CTLT) iaitu dua pusat akademik unggul di NUS yang terkenal dalam pembangunan kemahiran komunikasi, reka bentuk kursus, dan inovasi pedagogi berasaskan teknologi.

UMPSA memperkukuh jejak global melalui program mobiliti staf di National University of Singapore (NUS)

Beliau turut menyampaikan perkongsian bertajuk ‘From Essay to Interviews: Using Digital Innovation to Teach Communication’, yang menonjolkan pendekatan inovatif dalam pengajaran komunikasi akademik menggunakan teknologi digital. 

Selain itu, beliau turut mendapatkan input bermakna tentang pelaksanaan khidmat komuniti di NUS yang menekankan nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam pendidikan tinggi.

Lawatan ini turut membuka peluang bagi penanda aras di Central Library NUS untuk pembangunan Language Hub PBM: Voices@UMPSA, khususnya dalam penerokaan penggunaan Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) untuk menjadikan pembelajaran bahasa lebih interaktif dan imersif.

Menurut Dr. Umi Kalsom, selaras dengan Amanat Naib Canselor UMPSA 2025 di bawah Agenda Transformasi: Anjakan Pertama (Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu), penyertaan ini menzahirkan usaha universiti dalam memperluas penglibatan staf ke program antarabangsa yang berteraskan pembangunan kompetensi, pengalaman lintas budaya serta hubungan strategik dengan institusi global. 

“UMPSA kekal komited dalam usaha melahirkan warga akademik yang berdaya saing, berpandangan global, dan bersedia memacu kecemerlangan universiti di pentas antarabangsa,” ujarnya. 

Disediakan Oleh: Dr. Umi Kalsom Masrom, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri