Skip to main content

UMPSA pamer inovasi penyelidikan, sokong agenda agromakanan di MAHA Pahang 2026

RAUB, 25 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam menyokong pembangunan sektor agromakanan menerusi penyertaan aktif dalam Program MAHA Pahang 2026 yang berlangsung di Laman Nanas Dewan Jubli Perak, Raub dari 23 hingga 26 Julai 2026. 

Penyertaan UMPSA dalam program berprestij itu menampilkan pelbagai hasil penyelidikan, inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh universiti bagi menyokong agenda pembangunan pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dataran Raub, Pahang. 

UMPSA pamer inovasi penyelidikan, sokong agenda agromakanan di MAHA Pahang 2026

Hadir sama dalam program Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias. 

Program yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, pemain industri serta komuniti setempat itu menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak ke arah memacu pembangunan sektor pertanian dan agromakanan yang lebih mampan.

Sempena lawatan tersebut, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut meluangkan masa mengunjungi reruai UMPSA yang mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan dan inovasi universiti kepada para pengunjung.

Menurutnya, penyertaan UMPSA dalam MAHA Pahang 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda pembangunan agromakanan menerusi penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi serta pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.

Ujurnya, UMPSA sentiasa komited untuk memainkan peranan sebagai universiti berteraskan teknologi dengan memanfaatkan kepakaran akademik dan hasil penyelidikan bagi membantu meningkatkan daya saing sektor pertanian serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

“Penyertaan dalam program seperti MAHA Pahang 2026 memberi peluang kepada universiti untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik UMPSA selain memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, industri dan komuniti,” katanya.

Selain itu, penyertaan ini bukan sahaja memperkenalkan hasil penyelidikan UMPSA kepada masyarakat, malah membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha mempercepatkan pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk penyelidikan.

Program menyaksikan pameran Inovasi Sisa Nanas UMPSA bersama kumpulan penyelidik yang diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Bioaromatik UMPSA, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Roshahliza M. Ramli hasil kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Pahang di Laman Nanas, Jubli Perak, Raub, Pahang sempena MAHA Pahang 2026.

Lain-lain Pegawai Penyelidik, Hanafi Anuwar dan Che Mohd Aizal, Penolong Pegawai Sains, Herlissa Hamid, serta Penolong Eksekutif Teknikal, Nur Shakirah Mohd Azmi. 

Turut menyertai pameran di MAHA Pahang 2026 adalah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli bersama penyelidik Profesor Dr. Saiful Nizam Tajudin dan Dr. Nazikussabah Zaharudin yang berkongsi kajian Ketum Ayam sebagai makanan ternakan (kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang) di Laman Ternakan.

Manakala penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Ts. Mohd Najib Razali yang mempamerkan produk makanan itik dan inkubator telur itik (MNR Multitech Sdn Bhd). 

Melalui penyertaan dalam MAHA Pahang 2026, UMPSA terus membuktikan komitmennya dalam menerajui penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat sejajar dengan aspirasi universiti untuk terus memacu pembangunan teknologi.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri