Skip to main content

UMPSA pamer tiga inovasi penyelidikan di Festival Idea Putrajaya 2026

PUTRAJAYA, 16 November 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengajak orang ramai hadir memeriahkan Festival Idea Putrajaya 2026 (Putrajaya FOI 2026) yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, festival tersebut merupakan platform penting untuk menghimpunkan pelbagai idea, kepakaran dan inovasi dalam usaha membentuk masa hadapan negara yang lebih maju dan berdaya saing.

"Idea dan inovasi merupakan pemacu penting dalam pembangunan negara, justeru penglibatan semua pihak termasuk warga universiti, ahli akademia, penyelidik, mahasiswa, pemain industri dan masyarakat umum amat penting bagi menyemarakkan budaya inovasi.

“Bertemakan ‘Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani’, festival ini menghimpunkan pelbagai idea, kepakaran dan inovasi menerusi wacana intelektual, pameran penyelidikan, demonstrasi teknologi serta pelbagai pengisian menarik.

“Marilah kita manfaatkan platform ini untuk berkongsi idea, meneroka peluang kolaborasi dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Malaysia yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya.

Pada festival kali ini, UMPSA bakal mempamerkan tiga hasil penyelidikan inovasi yang mengetengahkan kepakaran penyelidik universiti dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi dan penyelidikan.

Tiga inovasi yang bakal dipamerkan ialah EVCas yang diterajui oleh Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram, Tactical Utility Autonomous Hybrid (TUAH) hasil penyelidikan Dr. Ismayuzri Ishak dan MOTOREKA yang dibangunkan oleh Dr. Mohd Azri Hizami bin Rasid.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang bertemu sendiri dengan para penyelidik yang menjadi minda di sebalik penghasilan inovasi berkenaan serta mengetahui perjalanan, cabaran dan inspirasi mereka dalam menghasilkan inovasi.

Orang ramai dijemput mengunjungi reruai Mobiliti Taktikal dan Keselamatan UMPSA bagi menyaksikan sendiri hasil penyelidikan dan inovasi yang diketengahkan.

Turut berlangsung sepanjang festival ialah pelbagai program menarik termasuk Sidang Idea Malaysia (SIM), IdeaPulse, MyIDEAS Connect, ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), University Social Enterprise Competition (USEC) 2026, ASEAN Universities Research Alliance (AURA) Forum, Konvensyen Akademia 2026 dan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0).

Festival ini turut menampilkan pelbagai pengisian berkaitan inovasi, teknologi dan penyelidikan seperti Cabaran Inovasi dan Teknologi Kreatif, Cabaran Agentic AI, IdeaTech: Innovation Showcase, pameran interaktif dan imersif, pertandingan robotik, arena e-sukan serta pertandingan catur.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai Karnival Mini Jom Masuk Universiti, Karnival Kerjaya, program promosi ASEAN University Games 2026, persembahan kebudayaan dan idea kreatif serta mendapatkan perkhidmatan klinik bergerak menerusi inisiatif IPT@Komuniti.

Disediakan Oleh: Naqiah Puad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

 

Reports by:
AINIEY