UMPSA peneraju Festival Idea@Pahang sebarluas ekosistem ilmu dan inovasi
GAMBANG, 12 Oktober 2025 - Sambutan penganjuran Festival Idea@Pahang 2025 meriah apabila diwarnai dengan inovasi apabila berlangsungnya Hari Pengkomersialan, AI Generation Festival (AiGenFest), Pameran TVET Termaju dan Hari Terbuka Makmal dan Hari Terbuka I’m Mahasiswa UMPSA dalam memperkukuh hab pemikiran strategik dan inovasi melalui penglibatan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi terutamanya di negeri Pahang.
Penganjuran festival ini merupakan inisiatif penting dalam mengangkat budaya ilmu dan inovasi khususnya di negeri Pahang dalam membentuk ekosistem pemikiran masa hadapan.
Penganjuran Festival Idea yang kini telah diperluaskan ke seluruh negara merupakan satu usaha murni Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyebarluaskan wacana intelektual agar dapat dikongsi bersama seluruh masyarakat setempat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, penganjuran Festival Idea yang kini telah diperluaskan ke seluruh negara merupakan satu usaha murni KPT untuk menyebarluaskan wacana intelektual agar dapat dikongsi bersama seluruh masyarakat setempat.

“Program ini secara langsung dapat menyemarakkan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu.
“Bukan sekadar medan pertemuan idea, tetapi juga wadah utama untuk merealisasikan solusi berasaskan inovasi dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
“Kerajaan Negeri Pahang sendiri giat menjalankan pelbagai program pembudayaan inovasi, pemerkasaan bidang digital, pembangunan hub teknologi dan zon perindustrian dalam usaha mewujudkan ekosistem teknologi maju di Negeri Pahang,” ujarnya.
Katanya lagi, komitmen ini merupakan inisiatif untuk melatih bakat tempatan dalam bidang berkemahiran tinggi dan menarik pelabur tempatan serta antarabangsa untuk beroperasi di Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negeri.
“Pelaksanaan inisiatif seperti Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) jelas menggambarkan bahawa kerajaan negeri melihat inovasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik untuk menjamin kelestarian ekonomi,” katanya yang hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutup Festival Idea@Pahang 2025 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim yang Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMPSA dan Ketua Seksyen Pengurusan Strategik mewakili Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Mujahidah Khairun Nisak Rosli.
Sementara itu, Profesor Dr. Yatimah berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di Pahang, UMPSA memikul tanggungjawab untuk menjadi pencetus dan pemangkin kepada ekosistem inovasi ini.
“Universiti bukan sekadar menyalurkan ilmu, tetapi lebih penting, berperanan untuk mencipta ilmu dan mengaplikasikan ilmu tersebut untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan industri.
“Festival Idea@Pahang ini merupakan ruang strategik untuk para akademik, penyelidik, industri dan pelajar mempamerkan hasil penyelidikan dan ciptaan mereka.
“Seiring dengan slogan UMPSA iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’, kita ingin menuai hasil dari ekosistem inovasi di UMPSA ini agar ia dapat dirasai, dinikmati dan dimanfaatkan kepada segenap lapisan masyarakat terutama komuniti di Negeri Pahang ini,” ujarnya.
Malahan impak Festival Idea@Pahang ini bermula dengan satu idea yang kemudiannya menjadi satu produk yang boleh dikomersialkan, seterusnya produk itu membawa kepada satu perniagaan baharu yang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan mengekalkan bakat tempatan serta menarik pelaburan luar.
Dalam majlis itu, Dato’ Mohamad Nizar turut menyampaikan anugerah dan menyaksikan sesi pertukaran dokumen pelesenan teknologi melibatkan pelesenan tiga Harta Intelek universiti yang telah dipatenkan kepada syarikat pemula bagi tujuan pengkomersialan melibatkan MNR Multitech Sdn. Bhd, Edgify Solutions Sdn. Bhd dan TML Lab Sdn. Bhd.
Turut serta pertukaran surat niat antara UMPSA dan Rakyat Consortium Sdn. Bhd. dan penyampaian sijil penghargaan seramai 25 orang pensyarah UMPSA tersenarai antara 2 peratus saintis terbaik dunia bagi kategori Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement) dan 15 daripadanya juga tersenarai bagi kategori Pencapaian Sepanjang Kerjaya (Career-Long Achievement) berdasarkan Elsevier Database, Stanford University baru-baru ini.
Festival turut dimeriahkan dengan program AIGenFest perkongsian pakar industri bertemakan ‘Unlocking AI for Smarter Work and Creative Innovation’ melibatkan Hazwan Hassan dari Neuramerge, Azizul Othman dari Lekir Tech dan Coach Khairul Ikhwan dari Gig Venture yang berkongsi tentang evolusi AI dalam kerja pintar, automasi AI Agent, serta seni prompting bagi menjana inovasi kreatif.
Turut mengetengahkan sesi bersama Azim Mohd Arshad, yang merupakan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) UMPSA, Guru Cemerlang Matematik, Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu, Zurina Mat Abu dan Guru Bahasa di Pusat Bahasa Moden (PBM, Nurkarimah Yusof yang bertemakan ‘Transforming Education with AI-powered Creativity and Engagement’.
Para panelis juga turut membincangkan bagaimana AI dapat memperkasa pembelajaran terbeza, gamifikasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), serta penggunaan Canva AI dalam meningkatkan kreativiti pengajaran.
Bersempena dengan itu, turut berlangsung Sesi Dana dan Fasilitasi Pengkomersialan yang memberi pendedahan kepada penyelidik, inovator dan usahawan berteknologi tinggi mengenai peluang pembiayaan serta fasilitasi pengkomersialan yang disediakan oleh agensi nasional.
Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan UMPSA Holdings Sdn. Bhd.
Festival dirancakkan lagi dengan Sesi Pitching Projek Penyelidikan melibatkan sembilan penyertaan merangkumi kategori pelajar dengan empat projek dan kategori staf akademik serta anak syarikat dengan lima projek termasuk penyertaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Lain-lain aktiviti menarik adalah Pameran Penyelidikan dan TVET, Hari Terbuka Fakulti dan Makmal, Bicara Penyelidikan & Forum Industri, Konsultasi Rakyat dan Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA yang diwarnai lebih 100 reruai melibatkan persatuan dan kelab pelajar.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 57 views
Reports by: