Skip to main content

UMPSA perbaharui MoA kolaborasi strategik program ijazah dual bersama BJTU dalam Kejuruteraan dan Teknologi Rel

BEIJING, 9 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperbaharui Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Beijing Jiaotong University (BJTU), China bagi meneruskan kerjasama strategik dalam pelaksanaan Program Ijazah Dual yang telah terjalin sejak tahun 2021.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pembaharuan MoA itu merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua universiti, selain membuka lebih banyak peluang pendidikan antarabangsa kepada pelajar.

“Kerjasama berkenaan turut memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri, khususnya dalam pembangunan sektor pengangkutan dan sistem rel di Malaysia.

"Pembaharuan MoA ini menjadi simbol komitmen dan kepercayaan bersama antara UMPSA dan BJTU untuk terus memperluas kerjasama pendidikan rentas negara serta memperkasa bakat berkemahiran tinggi yang diperlukan industri," ujarnya.

Majlis telah berlangsung di Kampus BJTU di Beijing yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-130 universiti itu. 

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden BJTU, Profesor Dr. Liu Pan dan seluruh warga pengurusan, akademik, pelajar serta alumni universiti itu atas pencapaian bersejarah ini.

Mengulas perkembangan Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU, beliau berkata, seramai 186 pelajar telah mengikuti program kerjasama akademik itu sejak bulan April 2021 yang pada peringkat awalnya dibangunkan bagi memenuhi keperluan bakat berkaitan projek East Coast Rail Link (ECRL).

UMPSA perbaharui MoA kolaborasi strategik program ijazah dual bersama BJTU dalam Kejuruteraan dan Teknologi Rel

"Pada tahun ini sahaja, seramai 45 pelajar UMPSA telah dihantar untuk mengikuti Program Ijazah Dual di BJTU.

"Sehingga kini, seramai 70 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian dan bekerja dalam pelbagai sektor berkaitan teknologi rel antaranya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Mass Rapid Transit (MRT), Transit Kereta Api Ringan (LRT) dan sistem rel lain di Malaysia, sekali gus membuktikan keberkesanan model pendidikan rentas negara yang menggabungkan kepakaran dan kekuatan kedua-dua institusi," katanya.

Program melibatkan tiga bidang pengajian iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik dengan pelajar berpeluang mengikuti pengajian serta memperoleh pengiktirafan akademik daripada kedua-dua universiti.

Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, kerjasama itu wajar diperluaskan pada masa hadapan memandangkan UMPSA dan BJTU mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi dan Pengangkutan.

"UMPSA terus memperkukuh kepakaran dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi dan TVET Termaju, manakala BJTU mempunyai kepakaran dalam bidang Pengangkutan, Kejuruteraan Kereta Api dan Kenderaan Pintar.

"Gabungan kepakaran ini diyakini mampu membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan," katanya.

Kerjasama ini juga selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 dalam memperkukuh pengantarabangsaan dan memperluas jaringan strategik dengan institusi pendidikan terkemuka dunia, khususnya dalam pembangunan bakat TVET Termaju dan bidang kejuruteraan berimpak tinggi.

UMPSA sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia termasuk program ijazah dual hasil kolaborasi dengan rakan strategik antarabangsa dari Jerman, China, Korea Selatan dan Kazakhstan.

Disediakan Oleh: Mohd Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri