UMPSA perkasa kebun Nanas MD2, pacu ekonomi komuniti orang asli Kuin Lengut
BERA, 27 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) Projek Pemerkasaan Penanaman Nanas MD2 Bersama Komuniti Orang Asli Kuin Lengut, Bera, Pahang.
Program anjuran Graduate Engineering & Technological Business School (GETBS), UMPSA itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bera serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Projek penanaman nanas MD2 ini merupakan salah satu projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) di Daerah Bera yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.
Projek tersebut melibatkan kawasan tanaman seluas 2.5 ekar dengan penyertaan masyarakat orang asli dari Kampung Orang Asli (KOA) Kuin Lengut, Bera.

Program CSR yang berlangsung di Ladang Tanaman Nanas MD2, Kampung Orang Asli Kuin Lengut itu melibatkan seramai 30 peserta dari UMPSA yang turun padang bersama komuniti dalam usaha memperkasa dan memastikan kelangsungan kebun nanas MD2 yang telah dibangunkan.
Aktiviti yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemerkasaan kebun dan pengurusan tanaman nanas MD2 secara praktikal.
Penglibatan secara langsung ini turut memberi peluang kepada peserta UMPSA untuk berinteraksi bersama komuniti dan memahami keperluan serta cabaran sebenar dalam usaha membangunkan aktiviti ekonomi komuniti orang asli.
Program turut diserikan dengan kehadiran Ketua Jabatan GETBS, Dr. Noraina Mazuin Sapuan, yang turut menyempurnakan sesi penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan.

Kerjasama ini mencerminkan pendekatan kolaboratif dalam menyokong usaha meningkatkan sumber pendapatan dan taraf sosioekonomi masyarakat orang asli melalui aktiviti ekonomi yang mampan.
UMPSA komited untuk terus memperluas pelaksanaan program CSR dan pemindahan ilmu yang memberi impak kepada masyarakat, selaras dengan peranan universiti dalam memperkasa komuniti serta membina hubungan strategik bersama agensi kerajaan dan pihak berkepentingan.
Disediakan Oleh: Dr. Noraine Bahari, Fakulti Pengurusan Industri
- 35 views
Reports by: