UMPSA perkasa komuniti FELDA Bukit Goh melalui program Komuniti Bijak Tenaga
KUANTAN, 9 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan universiti dalam memperkasakan masyarakat menerusi pelaksanaan Program Profesor Turun Padang bagi Program Komuniti Bijak Tenaga: Ke Arah Pengurangan Penggunaan dan Pelepasan Karbon di FELDA Bukit Goh, Kuantan, Pahang.
Program anjuran Pusat Peralihan Iklim dan Risiko Bencana (Pusat Iklim), UMPSA itu disertai oleh lapan orang pensyarah UMPSA dan 20 orang masyarakat setempat.
Ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada peningkatan kesedaran komuniti terhadap kecekapan dan penjimatan tenaga, di samping menggalakkan amalan yang dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.
Pengarah Pusat Peralihan Iklim dan Risiko Bencana (Pusat Iklim), Profesor Ir. Dr. Faizal Jamlos berkata, program pada hari ini sangat bermanfaat kepada penduduk FELDA Bukit Goh, khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjimatkan tenaga, lebih-lebih lagi dalam situasi tenaga yang agak terhad dan kos tenaga yang semakin meningkat.
“Semoga kerjasama bersama FELDA Bukit Goh dapat disambung dan diperkukuh dengan lebih baik lagi pada masa hadapan,” ujarnya.
Program tersebut menandakan komitmen Pusat Iklim dalam memperluas perkongsian ilmu dan kepakaran universiti kepada masyarakat, khususnya dalam aspek kelestarian, kecekapan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi perkongsian berkaitan kecekapan dan penjimatan tenaga yang disampaikan oleh Felo Penyelidik Pusat Iklim, UMPSA juga selaku Pengarah Program, Ts. Dr. Roziah Zailan.
Beliau telah memberikan pendedahan kepada komuniti mengenai kepentingan penggunaan tenaga secara berhemah dan langkah-langkah praktikal yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Bagi memastikan sesi perkongsian lebih interaktif, para peserta turut mengambil bahagian dalam permainan Kahoot yang menguji pengetahuan dan kefahaman berkaitan kecekapan serta penjimatan tenaga.
Pendekatan interaktif ini turut mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai dan menyeronokkan dalam kalangan komuniti.
Sebagai usaha meneruskan kesedaran selepas program, pelekat penjimatan tenaga turut diedarkan kepada komuniti untuk ditampal di pejabat dan kediaman masing-masing.
Pelekat tersebut berfungsi sebagai peringatan harian kepada komuniti supaya mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih cekap dan mengelakkan pembaziran tenaga.
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi penyerahan cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan atas kerjasama serta sokongan yang diberikan oleh komuniti FELDA Bukit Goh sepanjang pelaksanaan program.
Sesi tersebut turut menjadi simbolik kepada hubungan erat yang terjalin antara UMPSA dan komuniti FELDA Bukit Goh, khususnya dalam menjayakan agenda pemindahan ilmu dan kelestarian di peringkat komuniti.


Pusat Iklim Sumbang Teknologi Hijau kepada Komuniti
Sebagai sebahagian daripada sumbangan CSR, Pusat Iklim UMPSA turut menyumbangkan dua unit pengesan gerakan automatik untuk lampu dan satu unit kamera pengawasan (CCTV) berkuasa solar untuk kegunaan komuniti FELDA Bukit Goh.
Sumbangan tersebut merupakan satu bentuk usaha praktikal dalam memperkenalkan teknologi kepada komuniti, di samping menyokong pengurusan fasiliti yang lebih cekap dan selamat.
Penggunaan CCTV berasaskan solar turut memperlihatkan penerapan sumber tenaga boleh baharu dalam menyokong keperluan komuniti.
Peserta kemudiannya dibawa mengikuti lawatan ke tapak pemasangan CCTV di Pusat Mini Sukan dan pengesan gerakan automatik untuk lampu di tandas Dewan Semai Bakti Felda Bukit Goh.
Aktiviti tersebut memberi peluang kepada komuniti mengaplikasi teknologi yang disumbangkan serta memahami fungsi peralatan berkenaan dalam konteks fasiliti komuniti.
Melalui pelaksanaan Program Komuniti Bijak Tenaga ini, UMPSA terus memperlihatkan komitmen dalam memperluas impak ilmu, teknologi dan kepakaran universiti kepada masyarakat.
Gabungan pemindahan ilmu, aktiviti kesedaran, edaran bahan pendidikan dan sumbangan teknologi diharapkan dapat membantu komuniti FELDA Bukit Goh membudayakan amalan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan lestari.
Menurut Tok Empat FELDA Bukit Goh, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga komuniti dan memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk, khususnya melalui perkongsian tip-tip penjimatan tenaga yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Program ini mendapat sambutan daripada warga komuniti dan mereka mendapat manfaat daripada perkongsian tip-tip penjimatan tenaga dalam kehidupan seharian.
“Selain itu, penduduk juga berpeluang mempelajari cara pengiraan bil elektrik dan mengaplikasikan teknologi seperti pengesan gerakan dan CCTV berkuasa solar sebagai salah satu usaha penjimatan tenaga di FELDA Bukit Goh.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih khusus kami tujukan kepada pihak UMPSA serta semua peserta atas perkongsian ilmu, kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Semoga segala ilmu dan manfaat yang diperoleh melalui program ini dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian demi mewujudkan komuniti yang lebih bijak dalam penggunaan tenaga, prihatin terhadap alam sekitar dan bersama-sama menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Roziah Zailan, Pusat Peralihan Iklim dan Risiko Bencana (Pusat Iklim)
- 47 views
Reports by: