Skip to main content

UMPSA perkenal program baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti pertama di UA Malaysia

PEKAN, 24 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan teknologi apabila memperkenalkan Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian, yang merupakan program pertama seumpamanya ditawarkan di universiti awam (UA) di Malaysia.

Perkara itu dikongsikan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Noram Irwan Ramli, dalam Podcast 360: Bicara Dekan, terbitan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMPSA yang mengetengahkan perkembangan program akademik dan kecemerlangan fakulti baru-baru ini. 

Menurut beliau, penawaran program tersebut membuktikan komitmen UMPSA dalam memenuhi keperluan industri yang semakin memerlukan tenaga profesional berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan fasiliti serta pengurusan aset.

“Bidang pengurusan fasiliti bukan lagi hanya tertumpu kepada penyelenggaraan bangunan, malah merangkumi pengurusan keseluruhan aset fizikal, infrastruktur, keselamatan, kelestarian dan kecekapan operasi sesebuah organisasi. 

“Justeru, program ini dibangunkan bagi melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang. 

“Kurikulum program dirangka secara komprehensif dengan menggabungkan elemen teknologi, pengurusan, kejuruteraan, pendigitalan dan kelestarian bagi memastikan graduan mempunyai kompetensi yang selari dengan kehendak industri masa kini,” ujarnya. 

Tambah beliau, sebagai program pertama yang diperkenalkan di UA Malaysia, ia membuka peluang kepada pelajar untuk mengikuti pengajian yang lebih khusus dalam bidang pengurusan fasiliti, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor awam dan swasta.

“Graduan program ini berpotensi membina kerjaya sebagai Pengurus Fasiliti, Pengurus Aset, Perunding Pengurusan Fasiliti, Eksekutif Penyelenggaraan, Pengurus Operasi Bangunan dan pelbagai jawatan profesional lain dalam industri pembinaan, pengurusan hartanah, perkilangan, penjagaan kesihatan, pendidikan serta agensi kerajaan,” katanya. 

Dalam podcast yang sama, Profesor Madya Dr. Noram Irwan turut berkongsi hala tuju FTKA dalam memperkukuh pendidikan berasaskan teknologi dan kejuruteraan, di samping memastikan setiap program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perkembangan industri serta agenda pembangunan negara.

UMPSA perkenal program baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti pertama di UA Malaysia

Podcast 360: Bicara Dekan merupakan inisiatif Pusat Komunikasi Korporat UMPSA yang menjadi platform kepada barisan dekan berkongsi maklumat mengenai program pengajian, penyelidikan, inovasi dan kepakaran fakulti kepada masyarakat. 

Pendekatan ini turut membantu bakal pelajar memperoleh maklumat secara terus daripada kepimpinan akademik universiti.

Penawaran Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian ini dijangka mampu memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa responsif terhadap keperluan industri, sekali gus melahirkan graduan kompeten, inovatif dan berdaya saing di peringkat nasional serta global.

Disediakan Oleh: Anuar Abd Aziz, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri