Skip to main content
UMPSA perkukuh kerjasama strategik dengan institusi China, fokus laluan bakat dan penglibatan industri menjelang tahun 2030

UMPSA perkukuh kerjasama strategik dengan institusi China, fokus laluan bakat dan penglibatan industri menjelang tahun 2030

PEKAN, 30 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi di China menerusi Mesyuarat Interim China Board of Study (CBOS) yang memberi tumpuan kepada hala tuju baharu kerjasama akademik, penyelidikan serta penglibatan industri bagi memastikan hubungan dua hala kekal relevan dan mampan menjelang tahun 2030.

Ia menjadi platform untuk menilai pencapaian kerjasama sedia ada, di samping meneroka pendekatan baharu dalam memperluas peluang mobiliti pelajar, program ijazah berkembar, penyeliaan bersama, penyelidikan kolaboratif serta pembangunan bakat berteraskan keperluan industri.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kerjasama UMPSA dengan institusi di China telah berkembang dengan baik sejak beberapa tahun lalu, bermula daripada pertukaran akademik dan kerjasama bahasa kepada pelaksanaan program ijazah berkembar, mobiliti pelajar serta kolaborasi akademik yang lebih luas.

"Pencapaian tersebut merupakan asas penting untuk universiti melangkah ke fasa kerjasama yang lebih strategik, khususnya dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi dan keperluan industri masa hadapan.

“Namun, dalam kita melihat ke hadapan, kita perlu bertanya sama ada pendekatan yang telah membawa kita sejauh ini masih mencukupi untuk membawa kerjasama ini ke dekad seterusnya.

“Ketika ini, kita sedang memasuki era yang menyaksikan kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju dan kelestarian mengubah landskap industri serta mentakrifkan semula kemahiran yang diperlukan oleh graduan," ujarnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa penekanan China menerusi Rancangan Lima Tahun ke-15 bagi tempoh tahun 2026 hingga 2030 yang memberi fokus kepada inovasi teknologi, pembuatan termaju dan pembangunan bakat membuka peluang kepada UMPSA untuk menyelaraskan agenda kerjasama dengan keutamaan strategik kedua-dua pihak.

"Lembaga CBOS perlu berperanan lebih daripada sekadar platform melaporkan perkembangan dan meraikan pencapaian, sebaliknya menjadi ruang untuk menilai keberkesanan kerjasama, berkongsi pengalaman serta meneroka peluang baharu secara terbuka.

“Saya membayangkan lembaga ini sebagai platform untuk kita membuat refleksi secara jujur, belajar daripada pengalaman dan meneroka kemungkinan baharu bersama-sama.

“Kita perlu berani mengemukakan persoalan penting. 'Apakah yang telah berjaya dan apakah yang masih perlu diperbaiki? Adakah program yang ditawarkan memenuhi jangkaan pelajar? Adakah model kerjasama sedia ada mampan dan apakah yang perlu kita lakukan secara berbeza?” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, fasa seterusnya kerjasama UMPSA-China perlu melangkaui pendekatan konvensional yang hanya tertumpu kepada mobiliti pelajar dan program ijazah berkembar.

"Sebaliknya, universiti perlu meneroka laluan pengajian pascasiswazah, penyeliaan bersama, penyelidikan kolaboratif, penempatan industri serta pembangunan modul pengajaran yang dilaksanakan secara bersama.

“Kerjasama antarabangsa perlu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam cabaran industri sebenar bersama rakan mereka dari China, sekali gus menghubungkan pengalaman pembelajaran antarabangsa dengan peluang penyelidikan, penempatan industri dan kerjaya masa hadapan,” tambahnya. 

Beliau turut memberi penekanan terhadap kepentingan mengintegrasikan penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum akademik memandangkan UMPSA merupakan universiti teknikal yang perlu memastikan program pengajian sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan sektor industri.

“Sebagai sebuah universiti teknikal, kita tidak boleh membangunkan program akademik secara terasing daripada industri yang bakal menerima graduan kita.

“Rakan industri bukan sahaja perlu diberi ruang untuk mengenal pasti kemahiran masa hadapan, malah perlu turut sama membentuk kaedah dan pengalaman pembelajaran pelajar.

“Justeru, antara pendekatan yang boleh diteroka termasuk pembangunan modul bersama industri, penggunaan permasalahan sebenar industri dalam tugasan akademik, penglibatan pengamal industri dalam pengajaran dan penilaian serta pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja yang lebih tersusun,” ujarnya. 

Menurut beliau lagi, penglibatan industri tidak seharusnya dilihat sebagai komponen tambahan dalam program pengajian, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada asas perancangan dan penyampaian pendidikan di universiti.

Mengulas hala tuju CBOS menjelang 2030, beliau menggariskan tiga keutamaan utama iaitu menghubungkan program akademik dengan laluan pembangunan bakat jangka panjang, merapatkan hubungan antara universiti dengan industri serta meneroka model kerjasama baharu yang lebih fleksibel dan berimpak.

“Keutamaan kita adalah untuk menghubungkan program akademik dengan laluan pembangunan bakat jangka panjang, daripada peringkat prasiswazah kepada penyelidikan pascasiswazah dan seterusnya ke industri.

“Kita juga perlu merapatkan hubungan antara universiti dengan industri supaya kerjasama yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan teknologi baharu dan menangani cabaran dunia sebenar," katanya.

Malah, beliau turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif rintis berskala kecil yang boleh dinilai, ditambah baik dan diperluas sekiranya menunjukkan keberkesanan, selain memastikan setiap perancangan mengambil kira keutamaan serta sumber yang dimiliki universiti.

“Bukan semua perkara dapat dilaksanakan serentak. 

"Sebab itulah peranan lembaga ini penting untuk membantu kita menentukan keutamaan, mengenal pasti peluang yang wajar diteruskan dan bergerak ke hadapan secara bersama," jelasnya. 

Turut sama dalam mesyuarat tersebut ialah wakil-wakil institusi rakan kerjasama dari China, wakil industri serta warga UMPSA yang terlibat dalam pelaksanaan dan penyelarasan kerjasama akademik antarabangsa.

Katanya, kerjasama UMPSA-China pada fasa seterusnya bukan sekadar tentang melakukan lebih banyak perkara, tetapi tentang mencapai lebih banyak kejayaan secara bersama.

Mesyuarat ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan kerjasama yang lebih dinamik, berimpak dan mampan, sekali gus memperkukuh kedudukan UMPSA dalam jaringan pendidikan tinggi antarabangsa serta melahirkan graduan yang bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri