UMPSA perkukuh kesiapsiagaan graduan melalui GVI, latihan industri berstruktur dan pensijilan profesional
PEKAN, 9 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan graduan yang berkualiti, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dirangka di bawah Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 (UMPSA30).
Ini dibuktikan apabila UMPSA mencapai 97.2 peratus Kadar Bekerja Graduan (GE) bagi tahun 2025.
Pencapaian ini menyaksikan kecemerlangan berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan holistik, kompeten, berdaya saing tinggi dan menjadi pilihan industri di peringkat nasional serta antarabangsa.

Malahan dari aspek kesepadanan pekerjaan dalam bidang pengajian, peratusan graduan yang bekerja dalam bidang yang berkaitan turut meningkat daripada 65.12 peratus pada tahun 2024 kepada 70.16 peratus pada tahun 2025.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, dalam landskap pendidikan tinggi yang sentiasa berubah, terdapat program akademik yang berdepan cabaran dari segi daya saing akibat perubahan teknologi, keperluan industri, trend pekerjaan serta corak permintaan pelajar.
“Situasi ini merupakan perkara yang lazim dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh dunia dan memerlukan tindakan penambahbaikan secara berterusan.

“Di UMPSA, prestasi dan relevansi setiap program akademik dipantau secara berkala menggunakan sistem iREPS iaitu melalui analisis permohonan pelajar, kadar kebolehpasaran graduan, maklum balas majikan, keperluan industri serta penilaian badan akreditasi bagi memastikan program yang ditawarkan sentiasa memenuhi keperluan semasa,” ujarnya.
Bagi menangani program yang menunjukkan penurunan daya saing, UMPSA turut melaksanakan pelbagai intervensi strategik termasuk semakan dan penambahbaikan kurikulum, pengintegrasian teknologi baharu, pengukuhan komponen pembelajaran berasaskan industri serta peningkatan elemen kemahiran digital dan profesional.
Dalam keadaan tertentu, program yang mempunyai pertindihan bidang atau permintaan yang rendah akan melalui proses rasionalisasi, penggabungan atau penjenamaan semula supaya lebih relevan dengan kehendak pasaran dan aspirasi negara.

Pada masa yang sama, UMPSA turut memperkenalkan program-program baharu dalam bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, automasi industri, teknologi pintar, analitik data dan teknologi pembinaan berkomputer.
Pendekatan berasaskan data dan penglibatan aktif pihak industri membolehkan UMPSA membuat keputusan yang lebih tepat dalam pengurusan portfolio akademiknya.
Melalui pemantauan berterusan dan penambahbaikan yang sistematik, universiti dapat memastikan setiap program yang ditawarkan kekal kompetitif, berdaya tarikan kepada pelajar serta mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri dan pembangunan negara pada masa hadapan.
Dalam pada itu, UMPSA juga menawarkan pelbagai program tambah nilai bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan kompetensi yang diperlukan dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Selain mengikuti program akademik utama, pelajar juga berpeluang menyertai program pensijilan profesional, latihan kemahiran digital, bootcamp, pembangunan kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan, mobiliti antarabangsa serta program pembangunan kerjaya.
UMPSA turut memperkukuh Agenda TVET melalui pelbagai latihan berasaskan industri, projek sebenar bersama rakan industri seperti Bosch Rexroth, Huawei Technologies, Infineon Technologies dan Siemens melalui pendedahan kepada teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, Internet of Things (IoT) dan analitik data.
Ujar Profesor Ts Dr Yatimah, universiti tidak hanya memberi penekanan kepada pencapaian akademik semata-mata, malah memastikan setiap graduan memiliki nilai tambah, kemahiran masa hadapan dan pengalaman industri yang relevan sebelum menamatkan pengajian.
“Antara inisiatif utama yang sedang diperkasakan ialah pembangunan Graduate Value Index (GVI), iaitu satu indeks komprehensif yang dibangunkan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan graduan secara holistik merangkumi aspek kompetensi teknikal, kemahiran insaniah, kepimpinan, keusahawanan, pengantarabangsaan, kemahiran digital dan kebolehpasaran.
“Melalui GVI, UMPSA dapat menilai pembangunan pelajar secara lebih menyeluruh dan memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja memperoleh ijazah, tetapi turut mempunyai nilai profesional dan kompetensi yang diperlukan oleh industri.
“Malahan, ia juga dapat mengintegrasikan pembangunan kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan pengalaman industri secara menyeluruh,” katanya.
Selain itu, UMPSA turut memperkukuh pelaksanaan Structured Internship Programme (SIP) bagi memastikan pengalaman latihan industri yang lebih tersusun, berkualiti dan berimpak tinggi.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama erat bersama rakan industri dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan, automasi, teknologi digital, tenaga, pembinaan dan perkhidmatan profesional.
Menerusi SIP, pelajar didedahkan kepada tugasan sebenar industri, projek penyelesaian masalah, budaya kerja profesional serta bimbingan daripada mentor industri.
Pendekatan ini membolehkan pelajar memahami keperluan pekerjaan sebenar dan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja sebelum menamatkan pengajian.
Dalam memperkasakan nilai tambah graduan, UMPSA turut menawarkan pelbagai program pensijilan profesional yang mendapat pengiktirafan industri global.
Antaranya termasuk APTIS yang dikendalikan oleh British Council bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Lean Six Sigma Green Belt untuk kompetensi penambahbaikan proses dan produktiviti, Certified Cybersecurity Foundation bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran keselamatan siber, AWS Certified Cloud Practitioner serta AWS Certified AI Practitioner yang memberi pendedahan kepada teknologi pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
Program-program pensijilan ini memberikan kelebihan kompetitif buat pelajar ketika memasuki pasaran pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Pada masa yang sama, UMPSA turut memperkukuh pembelajaran berasaskan industri melalui Work-Based Learning (WBL), projek tahun akhir bersama industri, program mentor profesional, mobiliti antarabangsa dan pelbagai aktiviti pembangunan kepimpinan serta keusahawanan.
Pendekatan holistik ini membolehkan graduan UMPSA menguasai gabungan ilmu akademik, kemahiran teknikal, kemahiran digital dan kemahiran insaniah yang diperlukan bagi memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 serta ekonomi berasaskan teknologi.
Melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut, UMPSA yakin dapat terus melahirkan graduan yang berdaya saing, adaptif, bercirikan TVET serta mampu menjadi pemimpin dan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat global.
Dalam pada itu, sebagai universiti MTUN, penubuhan GITC TVET Placement Centre (GTPC) bersempena dengan Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, tepat pada masanya bagi memastikan penawaran bakat yang besar dipadankan dengan permintaan industri secara tepat.
Fokus program universiti kini juga digerakkan ke arah industri bernilai dan berpertumbuhan tinggi (high-growth, high-value) seperti semikonduktor, aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, tenaga boleh baharu, dan kenderaan elektrik (EV).
Manakala Pusat Kerjaya UMPSA turut berperanan dalam menilai keperluan pasaran sebenar, mengenal pasti sektor yang mendahagakan bakat dan menilai kemahiran yang paling bernilai mengikut pasaran semasa.
Melalui kurikulum yang dibangunkan bersama pihak industri pula, pelajar didedahkan kepada keperluan sebenar sektor pekerjaan dan perkembangan teknologi terkini bagi memastikan pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh sentiasa relevan dengan kehendak pasaran.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan graduan, UMPSA melaksanakan pelbagai inisiatif seperti latihan industri, WBL, projek tahun akhir berasaskan industri, program pensijilan profesional, pembangunan kemahiran digital dan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman dan permasalahan komuniti.
Penglibatan aktif pakar industri dalam proses pengajaran, penyeliaan projek penyelidikan tahun akhir dan program mentor atau jurulatih industri terutama dalam program WBL turut membantu pelajar memahami budaya kerja, amalan profesional serta cabaran yang bakal dihadapi apabila memasuki dunia pekerjaan.
Selain itu, pelajar turut diberi peluang menyertai program kepimpinan, keusahawanan, mobiliti antarabangsa dan pembangunan kerjaya yang dapat meningkatkan keyakinan diri serta daya saing mereka.
UMPSA berjaya melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik yang kukuh, malah berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Komitmen berterusan ini selaras dengan aspirasi UMPSA untuk menjadi universiti teknologi terunggul yang melahirkan graduan holistik bagi merealisasikan hasrat universiti sebagai Hab TVET Termaju Asia Pacifik menjelang tahun 2030.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 36 views
Reports by: