UMPSA perkukuh tadbir urus perolehan melalui taklimat tatacara tender ‘direct award’
PEKAN, 25 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh amalan tadbir urus, integriti dan pematuhan dalam pengurusan perolehan menerusi penganjuran Taklimat Berkenaan Tatacara Tender ‘Direct Award’ Mengikut Perspektif Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini yang diadakan di Kompleks Ilmuwan UMPSA Pekan.
Program anjuran Unit Integriti dan Pematuhan UMPSA itu diadakan bagi meningkatkan kefahaman pihak pengurusan serta warga kerja yang terlibat dalam proses perolehan berhubung aspek liabiliti korporat dan langkah pencegahan rasuah.
Taklimat tersebut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, pengurusan tertinggi universiti, Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat UMPSA, dekan serta pengarah pusat tanggungjawab.
Penceramah jemputan Dato’ Dr. Aswandi Haji Mohamed Hashim, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah (KEDA), memberikan penerangan berkaitan prosedur perolehan khususnya tatacara ‘Direct Award’ serta implikasi liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM.

Menurut Dato’ Seri Abdul Razak, Seksyen 17A ini bukanlah sekadar undang-undang yang bersifat punitif semata-mata, sebaliknya ia meletakkan beban pencegahan secara langsung ke atas bahu organisasi komersial berserta pengurusannya.
“Kegagalan kita untuk mencegah gejala rasuah membolehkan organisasi didakwa dan dihukum.
“Dalam konteks universiti ini bermakna setiap keputusan perolehan terutamanya yang melibatkan lantikan terus, mestilah melalui proses penilaian yang teliti, didokumenkan dengan rapi dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap keputusan perolehan, kontrak yang ditandatangani serta perbelanjaan universiti perlu dilaksanakan melalui proses yang telus, adil dan boleh dipertanggungjawabkan.
Menurut beliau, kaedah ‘Direct Award’ merupakan salah satu kaedah perolehan yang dibenarkan, namun pelaksanaannya memerlukan penelitian rapi kerana mempunyai risiko ketirisan, salah guna kuasa dan konflik kepentingan sekiranya tidak diuruskan mengikut tatacara yang ditetapkan.
Sehubungan itu, setiap lantikan secara terus perlu mempunyai justifikasi yang kukuh, didokumenkan dengan lengkap serta mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa mengikut tatacara yang ditetapkan.
Sesi ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan pelaksanaan Adequate Procedures atau Tatacara Pengurusan yang mencukupi sebagai langkah pencegahan dan mekanisme perlindungan organisasi dalam menangani risiko rasuah.
Penganjuran taklimat ini turut bertujuan mengenal pasti dan mengurus risiko rasuah serta salah guna kuasa, memastikan proses dan keputusan perolehan mematuhi prinsip ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik, selain memperkukuh mekanisme pertahanan UMPSA daripada risiko liabiliti korporat.
Program ini juga menjadi platform untuk memupuk budaya kerja yang mengutamakan integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam kalangan warga UMPSA, di samping memperkukuh kerangka tadbir urus universiti agar selari dengan amalan terbaik dalam pengurusan perolehan awam.
Pihak universiti berharap perkongsian ilmu menerusi taklimat ini dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga UMPSA dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan perolehan secara berintegriti serta memastikan kepentingan universiti sentiasa dilindungi melalui amalan tadbir urus yang kukuh.
Penganjuran program ini diselaraskan oleh Unit Integriti dan Pematuhan UMPSA sebagai sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan pematuhan dalam kalangan warga universiti.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 29 views
Reports by: