UMPSA perkukuh TVET rel, meterai kerjasama dengan Liuzhou Railway VTC
NANNING, CHINA, 17 September 2026 - Komitmen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju terus diperluas ke peringkat antarabangsa apabila universiti memeterai kerjasama strategik dengan Liuzhou Railway Vocational Technical College (VTC), China dalam bidang pengangkutan rel baru-baru ini.
Kerjasama dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian Kerjasama sempena penyertaan UMPSA dalam ASEAN Urban Rail Transit Supply and Demand Matchmaking Conference 2026 yang berlangsung di Nanning, China pada 16 hingga 17 September 2026.
Hadir mewakili UMPSA adalah Dekan Akademi TVET Termaju, Datuk Profesor Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani.
Manakala persidangan berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerjasama Metro ASEAN bersama China Association of Metro.
Mengangkat tema ‘Connecting ASEAN through Rail: Deepening Cooperation, Sharing Progress and Pursuing Win-Win Development’, persidangan ini menghimpunkan wakil kerajaan, institusi pendidikan, pemain industri, pakar serta pihak berkepentingan bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama praktikal dalam sektor pengangkutan rel bandar antara China dan negara-negara ASEAN.

Menurut Datuk Profesor Ts. Dr. Mohd Shahrir, kerjasama antara UMPSA dan Liuzhou Railway VTC memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem akademik dalam sektor pengangkutan rel, meliputi aktiviti akademik, latihan, penyelidikan serta mobiliti pelajar dan staf.
“Jalinan kerjasama ini turut membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik dalam bidang pengangkutan rel, selain meneroka peluang pembangunan program serta penyelidikan yang memenuhi keperluan industri rel yang semakin berkembang,” ujarnya.
Persidangan itu turut memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama termasuk perancangan pengangkutan rel di negara-negara ASEAN, kerjasama dan pembangunan projek, operasi dan penyelenggaraan (O&M) pintar serta pembangunan dan peningkatan kompetensi bakat dalam sektor pengangkutan rel.
Pelbagai pengisian turut dianjurkan sepanjang persidangan termasuk ucaptama, sesi pertukaran teknikal, sesi padanan antara kerajaan dan sektor swasta, perkongsian pencapaian serta lawatan teknikal ke tapak berkaitan sistem pengangkutan rel.
Penyertaan UMPSA dalam persidangan berkenaan turut memperlihatkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri rel di rantau ASEAN.
Delegasi Malaysia dalam persidangan tersebut turut melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan Prasarana Malaysia Berhad.
Kerjasama antarabangsa ini selari dengan aspirasi UMPSA untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju TVET termaju melalui jaringan strategik bersama institusi pendidikan dan industri antarabangsa, sekali gus memperluas peluang pembelajaran, penyelidikan serta pembangunan bakat dalam bidang teknologi dan kejuruteraan masa hadapan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 19 views
Reports by: