UMPSA perluas ilmu EKSA menelusuri keindahan kondusif di MUIP
PEKAN, 15 Oktober 2025 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di pusat berkenaan.
Persekitaran kondusif membawa maksud suasana kerja yang selesa, tersusun dan menyenangkan, yang mampu meningkatkan produktiviti, semangat kerja serta imej profesional sesebuah organisasi.
Lawatan itu juga bertujuan untu memberi pendedahan secara langsung kepada warga kerja PBM tentang pelaksanaan amalan EKSA yang berkesan di MUIP serta mengenal pasti elemen terbaik yang boleh diterapkan bagi penambahbaikan pelaksanaan di PBM.
Lawatan ini turut disertai oleh barisan jawatankuasa EKSA PBM yang diketuai oleh Penasihat EKSA, Dr. Nor Yazi Khamis, bersama Penyelaras EKSA PBM, Hanisah Bon (Kasbon).
Turut hadir Ketua Jawatankuasa Latihan PBM, Muhamad Aizat Zulkifli, Ketua Jawatankuasa Audit EKSA, Nurul Nadia Muhammad, Ketua Jawatankuasa Keselamatan EKSA, Farah Hanan Aminallah, serta tiga orang ahli.
Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Qumeyza Safwan Sulaiman yang memperincikan pelaksanaan EKSA di jabatan berkenaan iaitu merangkumi struktur organisasi, strategi pelaksanaan serta pendekatan inovatif dalam memastikan persekitaran kerja kekal teratur, bersih dan kondusif.
Di samping itu juga, para peserta berpeluang mengikuti lawatan meninjau pelbagai ruang kerja di MUIP, termasuk bahagian pentadbiran, bilik mesyuarat dan kawasan awam yang menyerlahkan elemen keceriaan, keindahan serta kecekapan susun atur.

Melalui lawatan ini, warga PBM memperoleh peluang untuk menimba pengetahuan praktikal mengenai pengurusan persekitaran kerja secara sistematik, termasuk aspek kreativiti dalam dekorasi pejabat, penjimatan ruang dan kos, serta peningkatan imej koprat jabatan.
Dr. Nor Yazi Khamis menegaskan bahawa dapatan tersebut akan dimanfaatkan sebagai penanda aras untuk pemantapan pelaksanaan EKSA di PBM secara berfasa dan berterusan.
Manakala menurut Farah Hanan Aminallah, disiplin EKSA secara langsung mengukuhkan aspek keselamatan tempat kerja iaitu melalui pengurusan laluan kecemasan yang jelas, pelabelan risiko dan bahan, penyimpanan peralatan yang teratur, kebersihan berjadual (housekeeping), serta audit pematuhan berkala.
“Hal ini akan mengurangkan hazard, mempercepat tindak balas, dan melindungi warga,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, amalan EKSA di jabatan kerajaan bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti kerja, malah turut memupuk disiplin, semangat kerjasama dan kesedaran sivik dalam kalangan warga organisasi.
Semoga lawatan ini menjadi pemangkin kepada usaha PBM dalam menjadikan tempat kerja lebih kondusif, sistematik dan mesra pelanggan, seiring aspirasi UMPSA ke arah kecemerlangan perkhidmatan.

Pihak MUIP juga turut merakamkan penghargaan atas kunjungan ini dan turut membuka ruang kerjasama susulan seperti sesi latihan bersama, audit silang amalan EKSA, serta pembangunan bahan rujukan ringkas untuk memastikan penyeragaman standard dan penambahbaikan berterusan.
Sepakat membawa berkat,
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing;
Kerjasama erat asas muafakat,
Kejayaan bersama pasti disanjung tinggi.
Disediakan Oleh: Muhamad Aizat Zulkifli dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 67 views
Reports by: