Skip to main content

“UMPSA pilihan pertama saya” – Muhammad Hazri Hakim kejar impian ubah nasib keluarga

Kuantan, 18 Jun 2026 – “Saya letakkan UMPSA bukan sahaja sebagai pilihan pertama tetapi semua pilihan program UMPSA bagi permohonan UPU kerana saya percaya di sinilah peluang terbaik untuk saya mengubah nasib keluarga,” katanya. 

Itulah luahan penuh keikhlasan Muhammad Hazri Hakim Hasni, yang menerima tawaran mengikuti pengajian program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang tidak pernah membiarkan kesempitan hidup memadamkan impiannya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Sebagai anak sulung bagi pasangan Hasni Hussin dan Norila Mohamed Nasir, beliau memahami pendidikan merupakan satu-satunya jalan untuk mengubah kehidupan keluarganya.

Bapanya hanya bekerja sebagai pemandu lori yang mengedar barangan runcit, manakala ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa.

Perjalanan pendidikannya bukanlah mudah. 

Selepas berjaya mendapat tempat di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) semasa di Tingkatan 1, beliau berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang sangat kompetitif.

Beliau mula berasa kurang yakin dengan kemampuan diri sehingga akhirnya mendorong beliau membuat keputusan sukar untuk meneruskan persekolahan Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan.

Namun, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya. 

Sebaliknya, beliau bertekad membuktikan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh tempat seseorang belajar, tetapi oleh kesungguhan dan usaha yang tidak pernah mengenal putus asa.

Di sekolah, Muhammad Hazri Hakim dipilih menyertai program Akademi Menara Gading Next Generation Accelerator Yayasan Al-Sultan Abdullah (AMG: NextGen YASA).

Malahan turut berpeluang menimba pengalaman antarabangsa melalui lawatan ilmiah ke Liuzhou Railway Vocational and Technical College (LRVTC) di China.

Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia pendidikan tinggi, malah membina keyakinan dirinya yang sebelum ini hampir hilang.

Melalui bimbingan, motivasi dan sokongan yang diterima sepanjang mengikuti program kerjasama YASA dan UMPSA, beliau mula melihat menyimpan impian. 

Dari situlah lahir azam yang tidak pernah berubah sehingga hari ini untuk menjadi mahasiswa UMPSA.

“Saya selalu beritahu diri sendiri, suatu hari nanti saya mesti masuk UMPSA. 

“Saya tahu UMPSA terkenal dengan program TVET. 

“Saya mahu buktikan kepada ibu bapa bahawa saya juga mampu berjaya dan mengubah kehidupan keluarga," katanya.

Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau berjaya diterima melanjutkan pengajian di UMPSA dalam bidang yang diminati.

Prihatin dengan keadaan tersebut, UMPSA menerusi Program Ziarah Prihatin telah mengunjungi kediaman keluarganya di Taman Tas, Kuantan bagi melihat sendiri keadaan kehidupan mereka.

Hadir menyantuni pelajar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts.Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA,En. Mohd. Jamil Ja'afar.

Profesor Ts. Dr. Yatimah yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA hadir menyampaikan Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000 serta bantuan Laptop bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyediaan tugasan akademik.

Muhammad Hazri Hakim kejar impian ubah nasib keluarga

Beliau berkata, setiap pelajar mempunyai kisah perjuangan yang tersendiri dan universiti sentiasa berusaha memastikan tiada pelajar yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

"Program Ziarah Prihatin memberi peluang kepada universiti untuk melihat sendiri cabaran sebenar yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga mereka.

"Kami mahu setiap pelajar tahu bahawa mereka tidak bersendirian. 

“Ibu bapa tidak perlu risau urusan yuran, keperluan asas dan yuran pendaftaran. 

“Masalah kewangan bukan penghalang untuk ke Universiti,” katanya yang turut menyampaikan bantuan kit makanan Yayasan UMPSA.

Bagi Muhammad Hazri Hakim, bantuan yang diterima bukan sekadar berbentuk kewangan atau peralatan pembelajaran.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh, tamat pengajian dengan cemerlang dan suatu hari nanti membantu keluarga saya keluar daripada kesusahan.

"Itulah impian terbesar saya," katanya dengan nada penuh sebak.

Muhammad Hazri Hakim kejar impian ubah nasib keluarga

UMPSA melalui Yayasan UMPSA memperuntukkan sejumlah RM5.58 juta menerusi pelbagai program kebajikan dan bantuan kewangan yang dirangka bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada pengajian akibat kekangan kewangan.

Antara bantuan yang disediakan termasuk Biasiswa UMPSA, Zakat Pelajar, Program Siswa Sulung, Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan, bantuan Ramadan, Campus Pantry, Dapur Siswa Madani, UMPSA Express Meal, bantuan komputer riba serta peluang pekerjaan melalui program MySiswa Job on Campus yang memberi peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan sambil belajar.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat 
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri