UMPSA, POKU meterai LOI perkasa ekosistem inklusif dan kebajikan komuniti OKU Pahang
SUNGAI LEMBING, 19 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF) terus mengukuhkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial dan pemerkasaan komuniti menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Persatuan Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (POKU).
Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara Pengarah iNKLUSIF UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak, manakala pihak POKU diwakili oleh Pengerusi POKU, Yang Berbahagia Dato' Sri S.A. Misleaina Ahid.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh rakan kerjasama strategik POKU, Dato' Dr. Sophia Sim Abdullah yang merupakan Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Science To Action.
Majlis itu telah berlangsung bersempena dengan Program POKU di Bengkel Sampul Surat Sungai Lembing, Kuantan.

Menerusi LOI ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk menggembleng tenaga dalam membangunkan inovasi, pemindahan teknologi, serta penyediaan ekosistem mesra dan inklusif bagi meningkatkan taraf hidup serta kebolehupayaan golongan OKU di negeri Pahang.
Di samping itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) inklusif bagi meluaskan peluang latihan kemahiran dan kebolehpasaran kerjaya golongan berkenaan.
Kerjasama ini sekali gus mencerminkan peranan aktif UMPSA sebagai institusi pengajian tinggi berteraskan teknologi dan kejuruteraan dalam memberikan impak positif secara langsung kepada masyarakat setempat.
Selain majlis menandatangani LOI, program sepanjang hari itu turut diserikan dengan Majlis Pelancaran Kenderaan Rasmi POKU.
Pelancaran kenderaan baharu itu dijangka bakal mempermudah urusan logistik, pergerakan aktiviti persatuan, dan penyampaian perkhidmatan bantuan kepada ahli-ahli POKU di seluruh daerah secara lebih efektif serta menyeluruh.

Pengarah iNKLUSIF UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak berkata, kerjasama bersama POKU bukan sahaja memfokuskan kepada pembangunan teknologi inklusif, malah menjadi pelantar penting dalam menyemai kesedaran awam dan memastikan golongan OKU tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat teknologi masa kini.

Program itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti berteraskan komuniti, antaranya Jejak Ilmu 2.0 yang membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim daripada Pertubuhan Amal Tiara Kasih Kuantan (PATIK).
Sinergi antara ahli persatuan, delegasi UMPSA dan masyarakat setempat mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas impak teknologi yang inklusif, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif inovatif demi meningkatkan kualiti hidup komuniti OKU di Pahang.
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM) dan Noorini Md Shah, Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF)
- 41 views
Reports by: