UMPSA rai kecemerlangan pelajar dalam Malam Anugerah Mercu Sanjung 2024
GAMBANG, 16 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan pelajar holistik dan berdaya saing apabila seramai 28 orang menerima anugerah pada Majlis Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2024 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Hadir dalam majlis, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato‘ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Turut sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato‘ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pendaftar, Dato‘ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan barisan pengurusan dan ketua jabatan.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, penganjuran MARS adalah sebuah platform yang signifikan dalam menghargai dan mengiktiraf pelajar yang menunjukkan pencapaian cemerlang secara holistik bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang kepimpinan, inovasi, sukan, kebudayaan, keusahawanan, kesukarelawanan serta banyak lagi.
“Saya berbangga dapat bersama-sama dalam majlis ini yang bukan sahaja meraikan pencapaian pelajar, tetapi juga menjadi cerminan budaya kecemerlangan dan pengiktirafan terhadap potensi pelajar yang telah ditunjukkan melalui penglibatan aktif mereka dalam pelbagai program pembangunan sahsiah dan kepimpinan sepanjang tahun lalu.
“Pelajar kini diberi ruang untuk membina jati diri, mengasah potensi dan menampilkan daya cipta melalui pelbagai saluran dari kelab dan persatuan, sehinggalah kepada program kemasyarakatan serta projek keusahawanan pelajar,” ujarnya.
Malahan lebih membanggakan, ada antara mereka yang telah menubuhkan syarikat pelajar dan menjana pendapatan melalui fasiliti kampus sebagai bukti kemampuan pelajar UMPSA untuk berdikari dan menyumbang secara langsung kepada ekosistem kampus.
Selain itu, beliau juga melihat bagaimana pelajar telah mula meneroka ruang-ruang baharu seperti inovasi teknologi automotif, e-Sukan, dron, data analitik dan pembangunan lestari.
Majlis ini juga turut mengiktiraf pelajar yang berjaya menyeimbangkan antara prestasi akademik dan penglibatan luar bilik kuliah, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 terhadap Agenda Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk pemerkasaan TVET dan pembangunan inovasi sosial, selain menjelaskan beberapa fokus utama universiti menerusi Agenda Transformasi Naib Canselor 2025.
Ujarnya, antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuklah penawaran program akademik berdaya saing, penguasaan bahasa Inggeris, program ijazah dual dan pembangunan ekosistem kampus yang berkonsepkan ‘Smart Campus dan Green Campus’.
“UMPSA juga komited untuk melahirkan pelajar yang berjiwa A.D.A.B iaitu Agile, Dynamic, Aspire dan Balanced, yang mampu memimpin secara beretika dan berwawasan,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah, penasihat kelab, jurulatih dan seluruh warga universiti atas dedikasi membimbing pelajar sehingga mampu mencapai kejayaan pada hari ini.
Majlis itu juga menyaksikan Nurhaiqal Faqrur Islam Norashid dinobatkan sebagai Ikon Seni dan Warisan dan beliau turut memenangi Anugerah Mercu Sanjung UMPSA bagi kategori individu dengan membawa pulang piala pusingan, trofi, sijil serta wang tunai berjumlah RM1000.00.
Anugerah Mercu Sanjung UMPSA bagi kategori berpasukan pula diraih oleh Kelab Rekreasi T-REX yang membawa pulang piala pusingan, trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000.00.
Lebih 1000 pelajar hadir memeriahkan majlis itu yang turut diserikan dengan persembahan pelajar di bawah Pusat Kebudayaan UMPSA.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 85 views