Skip to main content

UMPSA rai Kumpulan Inovatif dan Kreatif, SMART LAB VENTURES dinobat johan KIK 2026

PEKAN, 26 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kejayaan kumpulan inovatif dan kreatif dalam Majlis Penyampaian Hadiah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu UMPSA 2026 dan Majlis Apresiasi KIK Universiti Awam (UA) yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa UMPSA Pekan, hari ini.


Majlis yang disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias itu berjaya menghimpunkan lapan kumpulan KIK yang mewakili fakulti, pusat dan jabatan universiti bagi mengetengahkan idea serta penyelesaian inovatif dalam memperkemas proses kerja, memudahkan urusan warga kampus dan meningkatkan mutu perkhidmatan.



Dalam konvensyen KIK Horizon Baharu UMPSA 2026, kumpulan SMART LAB VENTURES dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam  (FTKA) dinobatkan sebagai johan menerusi projek ‘AcuTerra 2.0 (Acuan Tanah Cekap & Terkawal)’.



Naib johan pula diraih kumpulan COSMOS dari Fakulti Komputeran (FK) menerusi projek ‘Sistem PSM/PTA @CRED-B’, manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan TRAINOVA dari Akademi TVET Termaju dengan projek ‘Integrated Training Management System (ITMS)’.


Dalam pada itu, Kumpulan COSMOS turut menerima Anugerah Persembahan Terbaik, sementara Anugerah Khas Juri diberikan kepada kumpulan RECIRCLE dari Pusat Pembangunan Kelestarian menerusi projek ‘Inisiatif Sampul Lestari’. 


Kumpulan TECH-SYNAPSE dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) pula menerima Anugerah Harapan bagi projek ‘APMS: Transformasi Sistem Penilaian Projek Akademik Bersepadu’.


Kesemua lapan kumpulan yang bertanding menerima Sijil Penarafan Perak pada konvensyen kali ini.


Pada majlis sama, UMPSA turut meraikan enam kumpulan yang berjaya memperoleh penarafan Emas dalam Konvensyen KIK Universiti Awam 2026 yang telah mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.


Kumpulan berkenaan ialah SAVIOR dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) menerusi projek ‘GEN I - ECOBATOR; EUREKA-X’ dari Pusat Sains Matematik (PSM) dengan projek ‘Math Honeycomb – Inovasi Lipatan Heksagon Formula Matematik’; serta REMAKE CREATIVE dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi menerusi projek ‘Rekod Penggunaan Peralatan Penyelidikan di Makmal’.

Turut menerima penarafan Emas ialah kumpulan KIKEE dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) menerusi projek ‘EduCreator Studio; FISTXPERT’ dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dengan projek ‘Lab Innovation for Transport (LIF-T)’; serta FASTECH dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) menerusi projek ‘Mobile Emergency Shower (MESH)’.


Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, konvensyen KIK bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi ruang untuk meraikan keberanian mencuba, ketekunan menyelesaikan masalah dan komitmen warga universiti dalam menjadikan UMPSA lebih baik.


“Setiap projek yang diketengahkan perlu berasaskan pemahaman terhadap punca masalah, pengumpulan data serta pengujian penyelesaian bagi memastikan inovasi yang dihasilkan benar-benar memberi manfaat kepada pengguna.


“Keputusan untuk memperluas sesuatu inovasi perlu bersandarkan bukti yang boleh disemak. 


“Dokumentasikan cara penyelesaian itu berfungsi supaya pasukan lain boleh menggunakannya dan pengetahuan itu kekal walaupun ahli pasukan bertukar.


“Dokumentasi bukan untuk disimpan dalam almari fail, tetapi untuk memastikan ilmu terus hidup dan manfaatnya terus dirasai,” katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa keberkesanan sesuatu projek perlu dinilai melalui hasil yang boleh diukur, termasuk penjimatan masa, pengurangan pembaziran sumber serta maklum balas daripada pemegang taruh seperti pelajar dan staf.


Menurutnya, pelaksanaan KIK juga menjadi antara usaha menterjemahkan Pelan Strategik UMPSA30 bagi tempoh tahun 2026 hingga 2030 kepada tindakan di peringkat jabatan, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035.


Menjelang tahun 2027, beliau menggariskan tiga fokus utama kepada kumpulan KIK dan Pusat Tanggungjawab (PTJ), iaitu meneruskan pelaksanaan projek selepas konvensyen, berkongsi penyelesaian yang telah terbukti berkesan serta memberi keutamaan kepada projek yang mempunyai manfaat terukur.


Beliau berharap budaya KIK dapat diperluas dengan penyertaan lebih banyak kumpulan daripada setiap PTJ pada tahun hadapan, agar inovasi menjadi amalan seluruh universiti dan bukan hanya usaha segelintir warga.


Majlis turut menjadi platform penghargaan kepada semua peserta, juri, fasilitator dan jawatankuasa penganjur atas komitmen dalam menjayakan konvensyen serta membudayakan inovasi dan penambahbaikan berterusan di UMPSA.


Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri