Skip to main content

UMPSA raih kejayaan cemerlang di DICE 3.0, catat rekod The Malaysia Book of Records

JOHOR BAHRU, 3 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi diangkat di peringkat antarabangsa apabila dua pasukan daripada Fakulti Komputeran meraih kejayaan cemerlang dalam Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu melabuhkan tirainya dengan mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Digital Start-up Projects by Students In An International Programme.

Kejayaan UMPSA nyata membanggakan apabila pasukan bimbingan pensyarah FK, Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli yang dianggotai Muhammad Izzuddin Mohmed Rejab, Iyad Hakimi Syukur, Muhamad Harith Zulhairi dan Muhammad Anazhakimi Mohammad dinobatkan sebagai pemenang bagi tiga anugerah utama iaitu kategori Digital Games Application.

UMPSA raih kejayaan cemerlang di DICE 3.0, catat rekod The Malaysia Book of Records

Mereka meraih Main Award tempat kedua, Gold Award, dan Special Award (Outstanding Booth Experience).
Tidak kurang hebatnya, satu lagi pasukan bimbingan pensyarah FK, Noraniza Samat yang diwakili Ahmad Suhaib Zulfikri, Nur Adeela Mohammad Aris, Wardah Wafin Yacob dan Amar Razin Hamidon turut menambah kilauan kejayaan dengan meraih Silver Award bagi kategori Augmented Reality/VR.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. 

Turut hadir barisan pengurusan tertinggi KPT, Naib Canselor, dan Pengarah Pusat Keusahawanan universiti awam seluruh negara. 

UMPSA raih kejayaan cemerlang di DICE 3.0, catat rekod The Malaysia Book of Records

UMPSA pula diwakili oleh Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz.
Menurut Dr. Nurul Ashykin, pencapaian ini membuktikan kesungguhan pelajar UMPSA dalam meneroka bidang keusahawanan digital seiring dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing.

“DICE 3.0 menjadi platform bersepadu bukan sahaja untuk mencabar kreativiti, malah menggalakkan pelajar melangkah lebih jauh dalam menjayakan produk berasaskan digital dan teknologi baharu,” ujarnya. 

Pertandingan yang menghimpunkan 320 peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei itu sekali gus membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk membina syarikat pemula (start-up) serta mengembangkan potensi produk ke peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri