Skip to main content

UMPSA raih Pensijilan MS ISO 9001:2015, buktikan tadbir urus cemerlang

KUANTAN, 18 Disember 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya meraih pensijilan MS ISO 9001:2015, sekali gus membuktikan tadbir urus universiti yang cemerlang dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti tinggi.

Majlis Penyampaian Sijil dan Apresiasi Pensijilan MS ISO 9001:2015 telah diadakan di Hotel Grand Darul Makmur yang dirasmikan oleh Pengarah Negeri Pahang,SIRIM QAS, Mazlina Manshor yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Hajah Nur Fadhilah Muhammad.

Sijil diserahkan kepada UMPSA yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Mazlina Manshor yang membacakan teks ucapan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Hajah Nur Fadhilah Muhammad menzahirkan ucapan tahniah kepada UMPSA atas kejayaan ini.

“Audit yang dijalankan oleh Pasukan SIRIM QAS pada 11 hingga 13 September 2024 yang lalu telah mencatatkan pencapaian membanggakan tanpa sebarang penemuan Ketidakpatuhan (NCR). 

“SIRIM QAS International turut berbangga menjadi rakan strategik UMPSA dalam memperkukuh sistem pengurusan kualiti dan pembangunan pendidikan di negara ini.

“Diharapkan kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus maju ke hadapan dan memimpin dalam bidang pendidikan tinggi Malaysia,” ujarnya. 

Manakala menurut Profesor Dato’ Ir. Dr. Ahmad Ziad, pensijilan ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memastikan tadbir urus yang unggul, sekali gus mengukuhkan kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi berkualiti.

UMPSA raih Pensijilan MS ISO 9001 2015

“Pensijilan ini merangkumi skop ‘Pembangunan dan Pengurusan Akademik Program Ijazah Sarjana Muda dan Perkhidmatan Sokongan Yang Berkaitan’ menjadikan UMPSA sebaris dengan universiti awam (UA) lain di Malaysia yang turut mematuhi standard ini. 

“Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 turut menyumbang kepada kelancaran tadbir urus pusat tanggungjawab (PTJ) dan memastikan dokumen berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP) disimpan dengan sistematik untuk keperluan akreditasi oleh badan seperti MQA, EAC, ETAC, dan MBOT.

“Selain itu, sistem ini juga menyokong pelaksanaan Pelan Strategik UMPSA 25, khususnya melalui penyelarasan proses kerja akademik dan pentadbiran,” katanya.

Tambah beliau lagi, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama semua pihak termasuk Ahli Pengurusan PTJ, Penyelaras Jaminan Kualiti PTJ, Pemilik Prosedur, Juruaudit Dalaman, dan sekretariat MS ISO 9001:2015.

“Pensijilan MS ISO 9001:2015 merupakan standard antarabangsa yang penting dalam memperkukuh sistem pengurusan kualiti UMPSA.

“SIRIM QAS International akan menjalankan surveillance audit tahunan bagi memastikan pensijilan ini dapat dikekalkan. 

“Diharapkan semua pihak berkepentingan terus konsisten menyokong kelestarian pensijilan ini,” katanya.

UMPSA raih Pensijilan MS ISO 9001 2015

Bagi pihak pengurusan tertinggi universiti, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Jaminan Kualiti (BJK) dan Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) atas usaha penganjuran majlis ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi UUM, Profesor Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador, Pengarah Kanan PPSK, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi, serta pegawai-pegawai utama universiti.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri