Skip to main content

UMPSA kumpul dana Tuanku Canselor lebih RM7.8 juta

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama Yayasan UMPSA berjaya mengumpulkan dana Endowmen Tuanku Canselor bernilai lebih RM7.8 juta menerusi sumbangan strategik pihak industri, komuniti dan alumni bersempena penganjuran Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA semalam.

Kejohanan julung kali dianjurkan itu menjadi platform menghimpunkan komuniti korporat, agensi kerajaan, industri, alumni serta pencinta sukan golf, selain memperkukuh hubungan strategik dan jaringan kerjasama universiti dengan pelbagai pihak dalam menyokong agenda pendidikan, penyelidikan dan kebajikan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan kejohanan yang berlangsung di Sungai Long Golf & Country Club. Malah baginda juga berkenan turut menyertai kejohanan tersebut.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias.

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama para penyumbang kepada dana Endowmen Tuanku Canselor.
Abdul Razak berkata, kejohanan berkenaan dijangka menjadi acara tahunan berprestij yang mampu menghubungkan alumni, sektor korporat, industri, institusi pendidikan dan komuniti melalui sukan golf.

Katanya, Endowmen Tuanku Canselor di bawah Yayasan UMPSA bukan sahaja memberi tumpuan kepada kebajikan mahasiswa, malah menyokong pembangunan pendidikan, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat serta penyediaan kemudahan universiti.

“Endowmen ini penting bagi memastikan UMPSA mempunyai sumber pembiayaan yang lebih mampan untuk menyokong pelbagai inisiatif strategik pada masa hadapan, sekali gus memastikan universiti terus berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, dana terkini Endowmen Tuanku Canselor sejak dilancarkan pada September tahun lalu telah mencecah RM12.9 juta.

Yayasan UMPSA turut merekodkan agihan sumbangan sebanyak RM3.5 juta pada tahun lalu, melalui 12 tabung di bawahnya, manakala jumlah keseluruhan agihan sejak 2016 hingga 2025 mencecah RM26.5 juta.

Bagi program bantuan zakat, pembangunan dan kebajikan pelajar, sebanyak RM2.2 juta diagihkan pada 2025 kepada lebih 2,500 mahasiswa, khususnya anak-anak pelajar UMPSA dari Pahang.

Sebagai manifestasi komitmen terhadap kebajikan mahasiswa, universiti turut memperuntukkan RM1 juta bagi membantu pelajar yang memerlukan, terutama mahasiswa baharu yang berdepan kekangan kewangan ketika memulakan pengajian.

Selain kebajikan mahasiswa, UMPSA turut memperluas impaknya kepada masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program komuniti. Antaranya Kembara Lestari yang melibatkan 14 siri kembara dengan menyantuni lebih 13,000 anggota komuniti di 37 buah kampung.

Pada majlis sama, baginda berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang kejohanan serta melancarkan logo Sambutan Jubli Perak UMPSA.

Menjelang Sambutan Ulang Tahun UMPSA ke-25 pada 2027, universiti terus memperkukuh peranannya sebagai universiti teknikal yang mempunyai hubungan erat dengan sektor industri.

Jaringan kerjasama berkenaan membuka pelbagai peluang kepada mahasiswa menerusi latihan industri, Work-Based Learning (WBL), penyelidikan kolaboratif, pemindahan teknologi, pembangunan kurikulum dan penempatan pekerjaan.

Hubungan strategik itu turut menjadi pemangkin kepada usaha UMPSA melahirkan graduan berkualiti, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja masa hadapan.

Langkah tersebut selaras dengan aspirasi UMPSA untuk muncul sebagai hab TVET termaju di rantau Asia Pasifik menjelang 2030.

Penganjuran Kejohanan Golf Fillah Tuanku Canselor UMPSA juga memberi impak positif kepada usaha Yayasan UMPSA dalam menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan pelajar, termasuk penyediaan biasiswa, bantuan kewangan, pembangunan sahsiah serta program kecemerlangan akademik.

Kejohanan berkenaan sekali gus mengukuhkan peranan UMPSA sebagai universiti teknologi yang sentiasa menjalin hubungan erat dengan industri dan komuniti dalam merealisasikan aspirasi menjadi hab TVET termaju Asia Pasifik menjelang 2030. – UTUSAN

Author
azwin