UMPSA raikan 92 graduan PhD menerusi Hooding Ceremony 2026
PEKAN, 30 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kejayaan 92 graduan Doktor Falsafah (PhD) menerusi penganjuran 3rd PhD Hooding Ceremony UMPSA 2026 yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan, hari ini.
Majlis yang menghimpunkan graduan, penyelia akademik, pengurusan universiti dan ahli keluarga itu merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian akademik para graduan yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi, sekali gus menandakan perjalanan baharu mereka sebagai penyelidik dan sarjana dalam bidang kepakaran masing-masing.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kejayaan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah merupakan satu pencapaian besar yang menuntut ketekunan intelektual, komitmen serta pengorbanan selama bertahun-tahun.
"Perjalanan penyelidikan PhD bukan sahaja melibatkan penelitian literatur dan analisis data yang kompleks, malah memerlukan kekuatan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran sehingga berjaya mempertahankan hasil penyelidikan," ujarnya.
UMPSA sebelum ini meraikan 94 graduan PhD menerusi Majlis Hooding pada tahun 2025, manakala tahun ini seramai 92 graduan diraikan.
“Setiap graduan membawa kisah ketabahan dan sumbangan asli kepada perkembangan ilmu pengetahuan manusia.
"Hooding lambang pengiktirafan dan amanah ilmu.
"Istimewanya, Majlis Hooding merupakan tradisi akademik yang melambangkan peralihan seseorang graduan kepada komuniti sarjana dan penyelidik pada peringkat global," katanya.
Simbolik tersebut diterjemahkan menerusi penyelubungan muffler pada bahu graduan oleh Naib Canselor UMPSA dengan diiringi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Sesi penyampaian muffler dilaksanakan mengikut fakulti dan pusat akademik dengan penglibatan dekan serta penyelia masing-masing sebagai tanda penghargaan terhadap bimbingan akademik yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.
Dalam amanatnya, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut mengingatkan bahawa gelaran PhD bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab untuk memanfaatkan ilmu bagi kepentingan masyarakat.
“PhD yang anda peroleh merupakan satu alat yang berkuasa dan pada masa yang sama membawa tanggungjawab yang besar.
"Saya berharap agar kepakaran dan inovasi yang dibangunkan sepanjang pengajian dapat diterjemahkan kepada penyelesaian terhadap permasalahan dunia sebenar, selain memberi manfaat kepada komuniti setempat, negara dan masyarakat global," katanya.
Sementara itu, wakil graduan, Dr. Nurul Aien Abd Aziz dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM), ketika menyampaikan ucapan mewakili rakan seperjuangan, menzahirkan penghargaan kepada keluarga yang menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pengajian mereka.
“Kejayaan ini adalah milik anda semua sebagaimana kejayaan ini milik kami,” katanya yang ditujukan kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak dan adik-beradiknya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyelia dan penyelia bersama yang sentiasa memberikan bimbingan, teguran serta dorongan untuk membantu graduan menghasilkan penyelidikan yang lebih berkualiti.
“Anda mencabar kami untuk berfikir dengan lebih mendalam dan membimbing kami ketika keraguan mula hadir.
"Segala yang kami capai sebagai penyelidik bermula daripada bimbingan anda,” tambahnya.
Penghargaan turut diberikan kepada warga akademik dan pentadbiran UMPSA yang menyediakan sokongan melalui pengajaran, kemudahan makmal serta urusan pentadbiran sepanjang tempoh pengajian.
Mengimbau perjalanan menamatkan pengajian, beliau menyifatkan persahabatan dan kebersamaan sesama rakan penyelidik sebagai antara pengalaman yang menjadikan perjalanan tersebut lebih bermakna.
Beliau turut memetik ungkapan yang sering dikaitkan dengan Nelson Mandela, “It always seems impossible until it’s done” bagi menggambarkan bahawa kejayaan yang diraikan pada hari tersebut merupakan hasil kesungguhan untuk mengatasi segala kesukaran.
Menurutnya, gelaran Dr. yang diperoleh perlu disertai rasa tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada perkembangan ilmu dan masyarakat.
“Setiap individu yang menyarungkan hood pada hari ini telah membuktikan bahawa sesuatu yang kelihatan mustahil akhirnya mampu dicapai.
"Gelaran Dr. membawa tanggungjawab dan saya yakin kumpulan graduan ini akan memikulnya dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar UMPSA menerusi Pusat Kebudayaan UMPSA serta sesi fotografi bersama pengurusan universiti, penyelia dan graduan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan kecemerlangan akademik, di samping melahirkan lebih ramai penyelidik yang berkeupayaan menghasilkan ilmu, inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 2 views
Reports by: