UMPSA sambut baik Agenda Pemerkasaan PERHEBAT bagi Ekosistem TVET
KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai rakan strategik Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyambut baik pengumuman Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 - 2035 yang diluncurkan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dalam memperteguh peranan sebagai Pemacu Kelestarian Ekonomi Perwira Negara selaras tanggungjawabnya untuk menjamin kelangsungan kesejahteraan hidup bakal pesara dan veteran tentera.
Pelan Transformasi ini merupakan usaha strategik Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam meningkatkan kemahiran, meluaskan peluang pekerjaan serta menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi untuk manfaat kumpulan sasar bagi meluaskan akses serta pilihan kepada veteran menceburi industri yang memberi nilai pendapatan tinggi seiring dengan pengalaman dan kepakaran mereka.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA menyokong Agenda Pemerkasaan PERHEBAT ini terutamanya menerusi ekosistem TVET dan keusahawanan mampan yang menepati keperluan industri merangkumi peningkatan kemahiran, pengetahuan dan daya saing, ke arah peralihan kerjaya.
“UMPSA dan PERHEBAT mempunyai jalinan kerjasama dalam menyediakan program latihan dan penempatan pekerjaan bagi bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengikuti program pensijilan dengan menyediakan latihan dan kemahiran yang relevan mengikut kehendak industri.
“Inisiatif ini juga menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi sekali gus memastikan bakal pesara dan veteran tentera mendapat pekerjaan” katanya yang hadir dalam Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 – 2035 baru-baru ini.
Dengan kepakaran UMPSA, program latihan upskilling dan reskilling dapat dilaksanakan melalui penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (Al) dalam proses pembelajaran digital yang interaktif, inovatif dengan lebih berkesan yang dapat dimanfaatkan tenaga kerja PERHEBAT dan kumpulan sasar seiring dengan keperluan terkini.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Dalam pada itu, UMPSA mempunyai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credential (FLEXMC) dan Pusat Penilaian APEL yang dapat memberi manfaat buat masyarakat di negara ini khususnya di Pantai Timur dalam usaha pengembangan akses dan digitalisasi.
Pelan jangka panjang selama sepuluh tahun ini dirangka khusus untuk memperkasakan sosioekonomi dan kesejahteraan bakal pesara serta veteran secara holistik dan mampan serta bermatlamat untuk terus membangunkan bakal pesara dan veteran sebagai penggerak ekonomi dan tenaga kerja berkualiti tinggi menerusi 3 Fasa meliputi pembangunan kapasiti dan dasar (2026–2029), pemerkasaan industri nilai tinggi (2030–2032) serta keunggulan dan kelestarian institusi PERHEBAT (2033–2035).
Manakala empat teras yang diberi penekanan termasuklah lonjakan pasaran kerjaya, pembangunan komuniti mampan, pengembangan akses dan digitalisasi serta pemerkasaan dasar, governan dan profesionalisme.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 66 views
Reports by: