UMPSA sambut Bulan Integriti dan lancar buku Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS)
GAMBANG, 22 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menyambut Bulan Integriti dan melancarkan buku Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) peringkat universiti.
Sambutan Hari Integriti yang disambut secara tahunan itu adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni serta integriti secara berterusan.
Ia juga bermatlamat untuk mencapai hala tuju bebas daripada amalan rasuah dan penyelewengan pada setiap masa dan keadaan dengan tema yang dibawa pada tahun ini iaitu ‘Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi’.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, polisi dan panduan yang telah dirangka ini adalah merupakan komitmen secara kolektif UMPSA untuk meningkatkan aspek tadbir urus, kawalan dalaman, penghayatan dan amalan berintegriti khususnya dalam kalangan warga UMPSA.
“Saya ingin mengajak kita semua untuk terus berusaha secara kolektif dalam memastikan agenda integriti terus diutamakan.
“Kita harus sedar bahawa integriti bukanlah satu pilihan, tetapi merupakan asas kepada setiap keputusan, tindakan dan tanggungjawab yang kita pikul,” ujarnya.
Manakala menurut Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim, buku Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) UMPSA telah berjaya diterbitkan hasil penglibatan pasukan jawatankuasa yang telah memberikan komitmen tinggi sepanjang proses pembangunan OACS UMPSA ini.
“Bengkel yang telah diadakan dalam dua siri iaitu Bengkel Penilaian Risiko Rasuah UMPSA yang dijalankan pada 26 dan 27 Februari 2024 lalu berjaya dilaksanakan dan membolehkan kita selangkah ke hadapan dalam membangunkan Pelan Antirasuah ini,” katanya.
Majlis hari ini menyaksikan Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin melancarkan Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat UMPSA dan Buku Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) disaksikan oleh Pendaftar, Dato' Saiful Bahari Ahmad Bakarim dan Ketua Unit Integriti dan Pematuhan, Nurul Syahida Suhaimin.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Bendahari, Dato' Zainuddin Othman, Pustakawan, Kamariah Gono dan Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 162 views