Skip to main content

UMPSA sasar kerjasama berimpak tinggi bersama institusi pendidikan dan industri Kanada

GAMBANG, 28 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan dengan menyasarkan kerjasama berimpak tinggi bersama institusi pendidikan dan industri di Kanada menerusi lawatan rasmi delegasi Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia ke universiti ini.

Delegasi yang diketuai oleh Pesuruhjaya Perdagangan Kanan mewakili Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Eric Pelletier, itu disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed bersama barisan pengurusan kanan universiti di UMPSA Paya Besar. 

Lawatan tersebut menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan dua hala antara UMPSA dan Kanada, selain meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi, perdagangan dan pembangunan modal insan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim berkata, Kanada merupakan sebuah negara yang terkenal dengan kecemerlangan dalam pendidikan, inovasi, keterbukaan serta kepelbagaian budaya, nilai-nilai yang turut menjadi pegangan UMPSA dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berpandangan global.

Beliau berkata, lawatan itu bukan sekadar mempertemukan dua institusi, malah menjadi ruang untuk membina hubungan yang lebih erat antara ahli akademik, penyelidik, pelajar dan rakan industri.

"Kerjasama bukan sekadar mengenai institusi, perjanjian atau dokumen rasmi. 

"Kerjasama sebenar adalah mengenai manusia yang berkongsi idea, pengalaman dan kepakaran sehingga mampu menghasilkan peluang baharu dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi. 

"UMPSA sentiasa percaya bahawa setiap kerjasama antarabangsa perlu memberikan impak yang nyata kepada pembangunan universiti melalui peningkatan pengalaman pembelajaran pelajar, pengukuhan penyelidikan, peluasan jaringan industri serta sumbangan kepada pembangunan masyarakat, " ujarnya. 

Sebagai sebuah universiti berteraskan teknologi, UMPSA mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan, teknologi, TVET termaju, penyelidikan gunaan, inovasi dan kolaborasi industri yang menjadi asas kepada pembangunan universiti serta negara. 

UMPSA sasar kerjasama berimpak tinggi bersama institusi pendidikan dan industri Kanada

Justeru, UMPSA melihat potensi besar untuk memperluaskan hubungan strategik dengan universiti, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan syarikat industri di Kanada melalui pelbagai bentuk kerjasama termasuk mobiliti pelajar dan staf, program akademik bersama, penyelidikan kolaboratif, pendidikan berasaskan industri, keusahawanan serta inovasi.

Beliau turut memaklumkan bahawa hubungan antara UMPSA dan Kanada sebenarnya telah pun terjalin sejak sekian lama menerusi jaringan akademik dan penyelidikan.

Kini, UMPSA mempunyai lapan orang pensyarah yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada universiti-universiti terkemuka di Kanada, iaitu lima graduan daripada University of Waterloo, manakala selebihnya daripada University of Alberta, McMaster University dan University of British Columbia.

Menurutnya, pengalaman akademik dan rangkaian penyelidikan yang dibawa pulang oleh mereka menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan akademik antara UMPSA dan institusi pendidikan tinggi di Kanada, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.

Selain itu, hubungan strategik tersebut turut diperkukuhkan melalui penyertaan wakil UMPSA dalam Canadian Bureau for International Education (CBIE) Conference pada tahun 2025, selain penglibatan seorang pelajar PhD UMPSA yang menjalani program sangkutan penyelidikan di University of Waterloo menerusi Canada-ASEAN Scholarships and Educational Exchanges for Development (SEED Programme).

Pada tahun ini pula, UMPSA menerima kunjungan delegasi daripada Southern Alberta Institute of Technology (SAIT) bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan kemahiran.

Beliau berkata, perkembangan tersebut membuktikan bahawa asas kerjasama antara UMPSA dan Kanada telah pun terbina dan kini bersedia untuk diperkasakan melalui pelbagai bentuk kolaborasi yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi.

Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut merakamkan penghargaan kepada Eric Pelletier dan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia atas komitmen dalam menghubungkan institusi pendidikan, industri, penyelidikan, perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau berharap lawatan itu akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik yang bukan sahaja melibatkan pertukaran pelajar dan pensyarah, malah merangkumi penyelidikan bersama, pemindahan teknologi, inovasi, pembangunan bakat serta kerjasama industri yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

"Kerjasama yang kukuh tidak semestinya bermula dengan perjanjian berskala besar. 

“Ia boleh bermula melalui satu perbincangan, satu pertukaran pelajar, satu projek penyelidikan atau satu hubungan profesional yang akhirnya berkembang menjadi kerjasama jangka panjang. 

“Yang penting ialah kita mengambil langkah pertama dan terus membina kepercayaan," katanya.

Beliau berharap hasil perbincangan sepanjang lawatan tersebut akan membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang mampu memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti teknologi bertaraf global, di samping menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi yang memberi impak kepada masyarakat serta industri di peringkat antarabangsa.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri