Skip to main content

UMPSA semarak Bulan Kebangsaan dengan program patriotik, kreativiti dan kelestarian

PEKAN, 19 Ogos 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara menerusi pelbagai program bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Ke-69 Peringkat UMPSA Tahun 2026.

Dengan mengangkat semangat kebersamaan, kreativiti, gaya hidup sihat dan kelestarian alam sekitar, pelbagai aktiviti telah dirangka bagi memastikan sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah untuk menyemai nilai patriotisme dan memperkukuh jati diri dalam kalangan warga universiti.

Sambutan dimulakan dengan Majlis Peluncuran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat UMPSA yang berlangsung pada 5 Ogos 2026 di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak (CTAR) bersempena dengan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 Tahun 2026.

UMPSA semarak Bulan Kebangsaan dengan program patriotik, kreativiti dan kelestarian

Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, bersama Pendaftar UMPSA merangkap Ketua Kontinjen SUKUM 2026, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, penglibatan aktif warga universiti dalam setiap program diharap dapat menyemarakkan semangat cintakan negara serta memperkukuh nilai Malaysia MADANI dalam kehidupan seharian.
“Penyerahan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran sambutan di peringkat universiti menjadi lambang kesetiaan, kecintaan dan kebanggaan warga UMPSA terhadap negara,” ujarnya. 

Beliau turut menggalakkan penyertaan warga dalam membangkitkan  semangat kebangsaan.

Sebagai menyemarakkan lagi suasana Bulan Kebangsaan, UMPSA turut menganjurkan dua pertandingan yang mengetengahkan kreativiti dan penglibatan warga universiti iaitu Pertandingan Video TikTok: Gaya Hidup Sihat dan Pertandingan Kampus MADANI: Hias Pejabat.

Kedua-dua pertandingan yang berlangsung dari 17 Ogos hingga 4 September 2026 itu melibatkan penyertaan Pusat Tanggungjawab (PTj) UMPSA. 

Selain mencetuskan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik, pertandingan tersebut turut menggalakkan amalan hidup sihat, semangat kekitaan dan mewujudkan suasana tempat kerja yang lebih ceria, kreatif serta kondusif.

Tidak ketinggalan, elemen kelestarian alam sekitar turut diberi penekanan menerusi program ‘Merdeka Lestari 69: Menanam untuk Generasi’ yang dijadualkan berlangsung pada 4 September 2026 di UMPSA Pekan, dari jam 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Program yang menyasarkan penyertaan seramai 30 orang itu membawa mesej bahawa semangat kemerdekaan tidak hanya dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi turut diterjemahkan melalui tindakan menjaga dan memelihara alam sekitar. 

Kemuncak penglibatan UMPSA dalam sambutan Bulan Kebangsaan pula diteruskan menerusi penyertaan kontinjen perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pahang dan Daerah Pekan pada 31 Ogos 2026.

Seramai 80 orang staf termasuk pelajar UMPSA dijadualkan menyertai kontinjen universiti bagi memeriahkan sambutan di Kuantan dan Pekan. 

Penyertaan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UMPSA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) yang dekat dengan masyarakat, malah menjadi platform untuk warga universiti bersama-sama menzahirkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air.

Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Ke-69 di UMPSA memperlihatkan pendekatan sambutan yang menyeluruh dengan menggabungkan patriotisme, kreativiti, kesihatan, kelestarian dan semangat kebersamaan.

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri