Skip to main content

UMPSA Sertai Program Konservasi Biodiversiti Bersama Kuantan Port

KUANTAN, 25 September 2025 – Seramai 30 orang sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada staf dan pelajar telah menyertai Program Konservasi Biodiversiti anjuran Kuantan Port dengan kerjasama Malaysia Nature Society (MNS) dan Kasih Turtle Conservation Project di Pantai Chendor, Kuantan.

Pasukan sukarelawan UMPSA telah diketuai oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, selaras dengan komitmen universiti dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan biodiversiti.

UMPSA Sertai Program Konservasi Biodiversiti Bersama Kuantan Port

Antara pengisian utama program ialah aktiviti penanaman sebanyak 3,000 anak pokok bakau, gotong-royong membersihkan kawasan pantai, serta aktiviti pelepasan anak-anak penyu sebagai simbolik usaha pemuliharaan biodiversiti dan perlindungan ekosistem marin.

Menurut Dr. Suhaidah Hussain, penglibatan UMPSA dalam program seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan secara langsung kepada warga universiti mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, malah turut memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, industri dan badan bukan kerajaan.

“Program ini memberi peluang kepada staf dan pelajar UMPSA untuk menyumbang secara aktif kepada usaha pemuliharaan biodiversiti, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga ekosistem pantai dan hidupan marin untuk generasi akan datang,” katanya.

UMPSA Sertai Program Konservasi Biodiversiti Bersama Kuantan Port

Beliau turut menambah bahawa UMPSA akan terus komited dalam menyokong program berimpak tinggi yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air) dan SDG 15 (Hidupan di Darat).

Program ini secara tidak langsung mencerminkan peranan aktif UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kuantan Port, Malaysia Nature Society (MNS) serta Kasih Turtle Conservation Project atas penganjuran dan kerjasama strategik yang terjalin, sekali gus membuka ruang kepada UMPSA untuk bersama-sama menyumbang dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti secara berterusan, katanya.

Disediakan Oleh: Puan Nor Salwana Hj. Mohammad Idris

Reports by:
AINIEY