UMPSA sertai PUTRAJAYA FOI 2026, perkasa budaya inovasi dan penciptaan teknologi
PUTRAJAYA, 17 November 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen dalam menyokong agenda pembangunan teknologi dan inovasi negara menerusi penyertaan dalam Festival Idea Putrajaya (PUTRAJAYA FOI) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Majlis peluncuran festival bertemakan ‘Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani’ itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Turut serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Hasbi Ab Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh serta Pendaftar, Dato’ Saiful Bahari Ahmad Bakarim.
Penyertaan UMPSA turut dimeriahkan dengan kehadiran 200 orang mahasiswa yang berpeluang mengikuti pelbagai pengisian festival, sekali gus memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai perkembangan teknologi, penyelidikan dan inovasi serta peranan mereka sebagai generasi peneraju masa hadapan negara.
Dalam ucapannya, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Malaysia perlu melakukan anjakan daripada negara pengguna kepada negara pencipta dan pemilik teknologi bagi memastikan negara tidak hanya bergantung kepada inovasi yang dibangunkan pihak luar.
“Penguasaan teknologi kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, semikonduktor, keselamatan siber dan kriptologi perlu diperkasakan bagi membolehkan Malaysia membangunkan kepakaran, harta intelek serta teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara universiti, institusi TVET dan industri dalam membangunkan bakat serta melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan sektor teknologi baharu.
Malah beliau turut menggariskan keperluan memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti pada penerbitan akademik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada prototaip, paten, aplikasi industri dan penyelesaian yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pula berkata, PUTRAJAYA FOI 2026 yang memasuki edisi ketiga penganjurannya menghimpunkan pelbagai idea, kepakaran dan inovasi menerusi lebih 17 pengisian utama merentasi tujuh zon di PICC.
“Festival ini turut menampilkan 16 sesi perbincangan yang menghimpunkan 72 tokoh, panelis dan pembentang, selain penyertaan delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan,” ujarnya.
Dalam pada itu, UMPSA turut mengetengahkan tiga hasil penyelidikan dan inovasi yang mencerminkan kepakaran penyelidiknya dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi, iaitu EVCas yang diterajui oleh Pengarah, Pusat Kejuruteraan Automotif, Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram Mohd Rashid, Tactical Utility Autonomous Hybrid (TUAH) hasil penyelidikan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Dr. Ismayuzri Ishak serta MOTOREKA yang dibangunkan oleh Pensyarah FTKPM, Dr. Mohd Azri Hizami Rasid.
Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri hasil inovasi berkenaan di reruai Mobiliti Taktikal dan Keselamatan UMPSA, selain mendapatkan penerangan secara langsung daripada penyelidik mengenai fungsi, potensi aplikasi serta pembangunan teknologi tersebut.
Bagi Profesor Ts. Dr. Yatimah, penyertaan dalam festival berimpak nasional ini turut membuka ruang kepada UMPSA untuk memperluas jaringan kerjasama, memperkenalkan kepakaran penyelidikan universiti serta memperkukuh hubungan antara akademia, industri dan masyarakat.
Pelbagai pengisian lain turut diadakan sepanjang festival termasuk Sidang Idea Malaysia, ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), ASEAN Universities Research Alliance (AURA) Forum, Konvensyen Akademia 2026, pameran inovasi dan teknologi, pertandingan robotik serta Cabaran Agentic AI.
Beliau berharap penganjuran PUTRAJAYA FOI 2026 diharap dapat menyemarakkan budaya berfikir, mencetuskan idea baharu dan memperkukuh ekosistem inovasi negara, sekali gus meletakkan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu utama dalam melahirkan pencipta teknologi yang mampu membawa Malaysia ke tahap lebih maju.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 12 views