Skip to main content

UMPSA sokong agenda Pahang Smart City 2040 menerusi kepakaran teknologi pintar

KUANTAN, 19 November 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyatakan komitmen dalam menyokong agenda pembangunan bandar pintar negeri Pahang yang menyaksikan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Pahang Smart City 2026 serta melancarkan Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 di Dewan Kompleks Bandaraya, Majlis Bandaraya Kuantan hari ini. 


Bandar pintar bukan sekadar tentang teknologi canggih, tetapi bagaimana teknologi dapat memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan, memperkukuh keselamatan serta mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan berkualiti.



Pelancaran Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 yang mengangkat aspirasi ‘Pahang Pintar, Makmur dan Lestari’ menjadi landasan strategik dalam menetapkan hala tuju, dasar, strategi serta inisiatif pembangunan bandar pintar di seluruh negeri Pahang.


Blueprint ini bukan sahaja memberi penekanan kepada penggunaan teknologi moden, malah turut menggariskan usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, memperkukuh aspek keselamatan serta menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih selesa, mampan dan berkualiti untuk rakyat.


Pelaksanaannya turut merangkumi bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar bagi memastikan manfaat kemajuan teknologi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat.


Dalam program ini, UMPSA turut mengambil bahagian sebagai pempamer dengan mengetengahkan kepakaran penyelidikan dan inovasi menerusi dua Pusat Kecemerlangan (CoE), iaitu Pusat Kecerdasan Buatan dan Sains Data (CAIDaS) serta Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC).



Manakala pihak CAIDaS mengetengahkan kepakaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Sains Data yang berpotensi menyokong pembangunan penyelesaian pintar berasaskan data, analitik serta teknologi kecerdasan buatan.


Sementara itu, AEC mempamerkan kepakaran dalam bidang Kenderaan Generasi Baharu (Next Generation Vehicle – NxGV) yang menyokong pembangunan teknologi mobiliti pintar, pengangkutan lestari serta ekosistem kenderaan generasi baharu.


Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penyertaan UMPSA ini mencerminkan keupayaan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang berperanan menyumbang kepakaran dalam bidang teknologi, penyelidikan dan inovasi bagi menyokong agenda pembangunan negeri.


“Menerusi kekuatan penyelidikan dan kepakaran yang dimiliki oleh Pusat Kecemerlangan, UMPSA bersedia menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri Pahang dalam meneroka peluang kerjasama penyelidikan, pembangunan inovasi serta pemindahan teknologi ke arah merealisasikan aspirasi Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040,” ujarnya. 


Selain itu, kerjasama strategik antara universiti, kerajaan dan industri ini diyakini mampu mempercepat pembangunan penyelesaian teknologi pintar yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Pahang secara mampan.


Dalam pada itu, pengumuman Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja antara lapan daripada 11 bandar utama di Pahang yang telah berjaya meraih Anugerah Bandar Paling Mampan 2026 adalah amat dibanggakan. 


Malahan kejayaan ini seiring dengan agenda Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 dan pencapaian UMPSA apabila berjaya menduduki kedudukan ke-595 di dunia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2027.


Kejayaan ini turut menyaksikan UMPSA berada di kedudukan ke-158 terbaik di Asia, ke-12 terbaik di Malaysia, ketujuh terbaik di universiti awam (UA) dan pertama dalam kalangan Malaysian Technical University Network (MTUN).

 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
AINIEY