Skip to main content
UMPSA terima 2 sijil penghargaan bersempena dengan Persidangan Pengurus Sumber Manusia KPT 2026

UMPSA terima 2 sijil penghargaan bersempena dengan Persidangan Pengurus Sumber Manusia KPT 2026

BANGI, 4 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen terhadap kecemerlangan tadbir urus dan pengurusan sumber manusia apabila menerima dua sijil penghargaan sempena Persidangan Pengurus Sumber Manusia (HRMC) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Selangor.


Dua pengiktirafan tersebut ialah Sijil Penghargaan Tahap Keaktifan Pelaksanaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Tahun 2025 dan Sijil Penghargaan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO) Tahun 2026.


Kedua-dua sijil penghargaan berkenaan telah diterima oleh Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dalam majlis perasmian persidangan yang diadakan pada 4 November 2026.


Hadir merasmikan majlis, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.


Menurut Dato’ Saiful Bahri, pengiktirafan bagi tahap keaktifan pelaksanaan MBJ Tahun 2025 mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkasakan mekanisme perundingan dan hubungan dua hala yang konstruktif antara pihak pengurusan dengan wakil pekerja.


“Pengiktirafan bagi tahap keaktifan pelaksanaan MBJ Tahun 2025 mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkasakan mekanisme perundingan dan hubungan dua hala yang konstruktif antara pihak pengurusan dengan wakil pekerja.


“Pelaksanaan MBJ yang berkesan berperanan sebagai platform perbincangan dan penyelesaian isu berkaitan kebajikan, kepentingan serta persekitaran kerja warga universiti, sekali gus menyokong pembentukan budaya organisasi yang harmoni, inklusif dan produktif,” ujarnya.  


Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan Bakat, Helmi Mohamed Isa, Eksekutif Kanan, Unit Pembangunan Organisasi, Wan Muslimin Wan Nawang, dan Eksekutif Kanan, Unit Perjawatan, Jabatan Pendaftar, Siti Sakinah Mohtar.



Kehadiran wakil Jabatan Pendaftar dalam persidangan ini turut mencerminkan komitmen universiti terhadap pembangunan kompetensi, perkongsian amalan terbaik dan pengukuhan jaringan profesional dalam bidang pengurusan sumber manusia di peringkat pendidikan tinggi.


Dalam pada itu, penghargaan bagi Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi Tahun 2026 pula memberikan pengiktirafan terhadap usaha universiti dalam melaksanakan penilaian kendiri berkaitan pengurusan perjawatan dan struktur organisasi.


Pelaksanaan audit kendiri ini merupakan salah satu mekanisme penting bagi memperkukuh pematuhan terhadap dasar dan peraturan perjawatan, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber manusia serta memastikan struktur organisasi kekal relevan dengan keperluan dan hala tuju strategik universiti.


Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, penerimaan penghargaan ini menjadi dorongan kepada UMPSA untuk terus memperkukuh amalan tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.


“Tahniah kepada seluruh warga UMPSA, khususnya Jabatan Pendaftar dan semua pihak yang terlibat, atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam menjayakan agenda pengurusan sumber manusia dan tadbir urus universiti.


“Dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi, pengurusan sumber manusia yang strategik, responsif dan berorientasikan kecemerlangan menjadi antara elemen penting bagi menyokong aspirasi universiti dalam pembangunan bakat serta transformasi organisasi.


“UMPSA akan terus komited memperkukuh ekosistem pengurusan sumber manusia yang progresif, berintegriti dan berdaya saing melalui penambahbaikan berterusan terhadap dasar, sistem dan proses kerja, selaras dengan aspirasi KPT serta agenda kecemerlangan institusi,” katanya. 


Persidangan yang berlangsung pada 4 hingga 5 November 2026 itu membawa tema ‘Memperkasakan Sumber Manusia, Melestari Transformasi Pendidikan Tinggi’ menjadi platform penting dalam memperkukuh pengurusan sumber manusia serta tadbir urus organisasi di bawah KPT. 


Disediakan Oleh: Siti Sakinah Mokhtar, Jabatan Pendaftar

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri