UMPSA terima 2,313 pelajar baharu, warnai Sesi Akademik 2025/2026
PEKAN, 27 September 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima seramai 2,313 pelajar baharu yang mula mendaftar hari ini bagi Semester I Sesi Akademik 2025/2026 di kedua-dua kampus di Pekan dan juga Gambang.
Proses pendaftaran yang bermula sejak pagi tadi berjalan lancar melalui kaedah pandu lalu dengan kehadiran pelajar bersama keluarga masing-masing dari seluruh pelosok tanah air.
Kehadiran pelajar baharu ini sekali gus menandakan bermulanya perjalanan akademik mereka di UMPSA yang bukan sahaja menekankan aspek kecemerlangan akademik, malah turut memberi fokus kepada pembangunan kepimpinan, kemahiran insaniah dan sahsiah diri sepanjang tempoh pengajian.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias turut hadir menyantuni pelajar dan ibu bapa serta menyampaikan kata-kata semangat agar mahasiswa baharu memanfaatkan peluang menimba ilmu dengan sebaiknya.
Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu ke UMPSA dan menyifatkan ia sebagai permulaan kepada perjalanan yang penuh makna.
“Kehadiran anda pada hari ini memberi makna besar kerana ia menandakan bermulanya satu perjalanan baharu dalam menimba ilmu dan pengalaman di universiti ini.
“Gunakanlah masa sepanjang berada di UMPSA ini untuk mencipta kejayaan yang bukan sahaja membanggakan diri sendiri dan keluarga, tetapi juga memberi sumbangan kepada bangsa dan negara.
“Kami di UMPSA sentiasa komited memberikan sokongan dan bimbingan bagi memastikan anda berjaya dalam akademik, kerjaya dan kehidupan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed; Pengarah Pusat Inklusif (PPi), Dr. Munira Abdul Razak serta Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah.
UMPSA turut memastikan fasiliti dan prasarana terbaik disediakan agar proses pendaftaran berjalan lancar dan memberi keselesaan kepada semua pihak, di samping membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 39 views
Reports by: