Skip to main content

UMPSA terima 2,618 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2026/2027

PEKAN, 19 September 2026 - Seramai 2,618 pelajar baharu program ijazah sarjana muda bagi Sesi Akademik 2026/2027 mula mendaftar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini, sekali gus menyaksikan kedua-dua kampus universiti itu kembali meriah dengan kehadiran mahasiswa baharu bersama ibu bapa dan keluarga.

Pendaftaran pelajar dijalankan serentak di UMPSA Pekan dan UMPSA Kampus Paya Besar.

Pendaftaran bagi program TVET Borneo UMPSA juga berlaku pada hari ini yang diadakan di Kampus Pesisir UMPSA di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Proses pendaftaran dilaksanakan di beberapa lokasi, iaitu di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar (PAP), kini dikenali sebagai Kompleks Aspirasi Siswa (KAS), bagi pelajar di UMPSA Pekan, manakala Kolej Kediaman 3 dan 4 menjadi lokasi pendaftaran bagi pelajar UMPSA Kampus Paya Besar.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut meluangkan masa menyantuni mahasiswa baharu serta bertemu ibu bapa dan keluarga yang hadir bagi mengiringi anak-anak mereka.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah serta Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Abd. Rahman Haji Safie.

UMPSA terima 2,618 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2026/2027

Dalam kesempatan tersebut, Profesor Ts. Dr. Yatimah mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada mahasiswa baharu yang memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi.

Menurutnya, UMPSA menawarkan 44 program ijazah sarjana muda, termasuk program baharu yang ditawarkan buat pertama kali pada sesi ini, iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian, yang merupakan program pertama seumpamanya ditawarkan di universiti awam (UA) di Malaysia.

“Saya mengharapkan para pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di UMPSA dapat menjalankan tanggungjawab sehabis baik dengan penuh semangat dan berdedikasi.

“Gunakan peluang ini untuk membina potensi diri, menguasai ilmu dan kemahiran serta melengkapkan diri dengan pengalaman yang dapat menjadi bekalan untuk melangkah ke alam kerjaya,” ujarnya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada universiti dalam perjalanan pendidikan anak-anak mereka.

UMPSA terima 2,618 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2026/2027

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah memberi jaminan bahawa kebajikan pelajar, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, akan terus menjadi keutamaan UMPSA.

“UMPSA sentiasa memastikan setiap pelajar memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti. 

“Pihak universiti akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik dan pelbagai inisiatif bagi memastikan mereka dapat mengejar impian tanpa sebarang halangan,” katanya.

Antara inisiatif yang disediakan termasuk Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi pelajar yang layak, yang meliputi kos yuran pengajian serta elaun wang saku sepanjang tempoh pengajian.

Selain itu, pelajar yang memerlukan turut menerima Bantuan Awal Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000 serta Bantuan Komputer Riba sebagai persediaan memasuki universiti.

Kemasukan dan pendaftaran pelajar diuruskan oleh Perkhidmatan Akademik, JHEAA melalui Pusat Pemasaran dan Kemasukan serta Pusat Pendaftaran dan Rekod, bagi memastikan urusan pendaftaran akademik mahasiswa baharu berjalan lancar.

Sementara itu, Pusat Perkhidmatan Pelajar, JHEPA menguruskan kemasukan dan penempatan pelajar ke kolej kediaman, termasuk urusan daftar masuk asrama bagi memastikan kebajikan dan keperluan awal mahasiswa dapat diselaraskan dengan baik.

Dalam perkembangan berkaitan, turut berlangsung pendaftaran pelajar UMPSA di UMS bagi program kerjasama strategik antara UMPSA dan UMS.

Kerjasama tersebut melibatkan penawaran dua program Sarjana Muda Teknologi secara pesisir di UMS, iaitu Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas serta Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian dalam menyokong agenda TVET negara.

UMPSA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses kemasukan dan pendaftaran mahasiswa baharu, pengurusan penempatan asrama serta urusan pendaftaran program kerjasama di UMS dapat dilaksanakan dengan lancar.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri