UMPSA terima Anugerah Pencapaian 100% KPI Keusahawanan KPT 2025
KUANTAN, 24 November 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kecemerlangan dalam agenda pembangunan keusahawanan apabila menerima Anugerah Pencapaian 100% KPI Keusahawanan bagi Tahun 2025 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pengiktirafan tersebut diterima bersempena dengan Majlis Makan Malam Mesyuarat Sekretariat Pengarah-pengarah Pusat Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi Awam Bil. 1/2026 yang berlangsung pada 22 hingga 25 November 2026 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
UMPSA melalui Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), turut diberi kepercayaan sebagai institusi penyelaras bagi penganjuran mesyuarat berkenaan.
Anugerah tersebut disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian tujuh petunjuk prestasi utama (KPI) keusahawanan yang ditetapkan oleh KPT.
Daripada 21 institusi pendidikan tinggi awam yang terlibat, hanya tujuh institusi berjaya mencapai 100 peratus KPI berkenaan.
Pengarah PUPUK, Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz menerima anugerah tersebut bagi pihak UMPSA.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb dengan memberi tumpuan kepada perbincangan tujuh KPI keusahawanan KPT bagi tahun 2026 dan 2027 serta Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2026–2030.

Pelan tindakan tersebut memberi penekanan terhadap usaha melahirkan usahawan siswa yang berdaya saing dan holistik, selain memperkukuh peranan pusat keusahawanan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong agenda keusahawanan negara.
Mesyuarat turut menjadi platform perkongsian pandangan dan amalan terbaik antara institusi bagi memperluas penyertaan pelajar dalam program keusahawanan serta menambah baik ekosistem sokongan kepada mahasiswa yang berminat untuk memulakan perniagaan.
Di UMPSA, PUPUK memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan program pembangunan usahawan siswa melalui kerjasama strategik bersama fakulti, pihak industri dan agensi berkaitan.
Menerusi pelbagai inisiatif termasuk latihan, bimbingan dan program inkubasi perniagaan, pelajar diberi peluang untuk mengembangkan idea perniagaan, membangunkan produk atau perkhidmatan serta meneroka peluang pasaran sebenar.
Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA melalui PUPUK dalam memperkasa budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa serta melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik, malah berupaya mencipta peluang pekerjaan dan menjana nilai ekonomi.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 11 views
Reports by: