Skip to main content

UMPSA Terima Pelajar Baharu Program Asasi Sesi Akademik 2026/2027

GAMBANG, 11 Julai 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menerima kemasukan pelajar baharu bagi Program Asasi Sains dan Teknologi bagi Sesi Akademik 2026/2027 dalam suasana penuh ceria di Kampus Gambang.

Pendaftaran pelajar berlangsung dengan lancar menerusi kerjasama pelbagai pihak yang sentiasa komited memastikan proses kemasukan berjalan dengan teratur bagi memberi pengalaman terbaik kepada pelajar dan ibu bapa.

Turut mendaftar ialah pelajar yang menerima tajaan daripada pelbagai agensi, antaranya Yayasan Terengganu dan Yayasan Daya Diri. 

Pelajar-pelajar tajaan ini bakal mengikuti program Ijazah Dual hasil kerjasama strategik antara UMPSA dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjin University (TJU), China.

Program Ijazah Dual ini menawarkan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa serta melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Kemasukan pelajar baharu ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan industri dan menyumbang kepada pembangunan negara. 

Kehadiran mereka juga menandakan permulaan perjalanan sebagai warga UMPSA yang akan dibentuk melalui kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah, kepimpinan serta pengalaman pembelajaran holistik sepanjang tempoh pengajian.

Kemasukan kali ini turut melibatkan pelajar antarabangsa, antaranya Ray Kanyiri Mbugua dari Kenya, yang memilih UMPSA sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian dalam Program Asasi Sains dan Teknologi. 

Kehadiran beliau mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan UMPSA serta memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf global.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kemasukan pelajar baharu program Asasi Sains dan Teknologi bagi sesi akademik ini membuktikan kepercayaan berterusan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan UMPSA.

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pelajar baharu ke keluarga besar UMPSA. 

“Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya untuk menimba ilmu, membina jati diri, mengembangkan potensi kepimpinan serta mencipta kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian. 

“UMPSA sentiasa komited menyediakan pengalaman pembelajaran yang holistik bagi melahirkan graduan TVET bertaraf dunia yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya. 

Bagi Nur Damia Qistina binti Muhammad Fadhil, pelajar tajaan Yayasan Terengganu bersyukur kerana terpilih mengikuti Program Asasi Sains dan Teknologi UMPSA bagi Sesi Akademik 2026/2027.

UMPSA Terima Pelajar Baharu Program Asasi Sesi Akademik 2026/2027

Beliau mengharapkan peluang ini akan memberi pengalaman buatnya dalam mencapai kejayaan dan mencapai cita-citanya kelak.

Turut hadir menyantuni pelajar dan ibu bapa pada hari pendaftaran ialah Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Encik Abd Rahman Safie, bersama Pengarah Kanan, Perkhidmatan Akademik, Puan Ernie Nurazlin binti Lizam, yang meluangkan masa menyambut ketibaan pelajar baharu serta meninjau kelancaran proses pendaftaran.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri